Saturday, June 30, 2012

perihatin pada toyota altis

ARKIB : 30/06/2012

Pemimpin Kelab Penyokong Pas kerugian RM30,000

N. BALASUBRAMANIAM menunjukkan keadaan bilik yang digeledah oleh penyamun di Taman Bukit Pedah, Jerantut, baru-baru ini.
JERANTUT 29 Jun - Timbalan Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Pusat, N. Balasubramaniam kerugian hampir RM30,000 selepas rumahnya di Taman Bukit Pedah, di sini dipecah masuk penyamun kelmarin.
Kejadian pukul 8.30 pagi itu berlaku ketika Balasubramaniam baru meninggalkan rumahnya untuk berurusan di bandar Jerantut, manakala isterinya, N. Letchmy, 54, ketika itu sedang bekerja.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Azid Ismail berkata, ketika kejadian, anaknya, N. Koshini, 25, berseorangan di dalam rumah tersebut.
"Mangsa diacukan parang sehingga mengalami cedera ringan dan terpaksa menerima beberapa jahitan di tangannya di Hospital Jerantut.
"Penjenayah itu sempat melarikan dua unit komputer riba, dua unit telefon bimbit, wang tunai, barangan kemas dan pelbagai koleksi wangian berjenama," katanya di sini semalam.
Menurutnya, suspek yang memecah masuk kediaman mangsa dipercayai terdiri daripada empat lelaki dan menaiki kenderaan jenis Toyota Altis berwarna putih.
"Polis sedang giat memburu suspek dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes ini diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Menurut beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyamun menggunakan senjata.

No comments:

Post a Comment