Thursday, June 21, 2012

br1m tipu

Orang Asli dakwa mangsa penipuan terima BR1M

Empat penduduk Orang Asli mendakwa dieksploitasi pihak tertentu menagih upah perkhidmatan mengisi dan menghantar borang serta kegagalan memperoleh BR1M di Kampung Sematau, Jerantut.
Saudara Pengarang,
SAYA merupakan penduduk Orang Asli yang tinggal di Sematau, berdekatan Jalan Felda Kota Gelanggi ke Felda Lepar Utara, Jerantut ingin melahirkan rasa kecewa apabila menjadi mangsa penipuan pihak tertentu ketika menguruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) baru-baru ini.
Saya terpanggil menyatakan kekesalan kerana kami Orang Asli tidak tahu membaca dan menulis telah dieksploitasi dengan pengagihan wang oleh kakitangan sebuah agensi khidmat masyarakat (bukan pejabat kerajaan) di sini ketika diminta membantu mengisi dan menghantar borang permohonan tersebut.
Oleh kerana agak asing dengan maklumat berkenaan, saya percaya perkhidmatan mengisi borang dan mendapatkan BR1M perlu mengeluarkan belanja, tetapi selepas diberitahu oleh rakan di tempat lain bahawa tiada caj dikenakan.
Untuk makluman, kami dikenakan caj RM100 bagi dua keping borang, berasaskan bantuan mengisi setiap sekeping borang oleh kakitangan pejabat terbabit.
Lebih mengejutkan, saya dan menantu juga dikenakan lagi caj tambahan RM20 dengan alasan untuk pos borang berkenaan ke Kuala Lumpur.
Kami menyangka caj itu dikenakan untuk mendapatkan borang BR1M dan perkhidmatan tertentu lalu mengeluarkan wang saku tanpa membantah.
Lebih malang lagi, selepas mengeluarkan banyak belanja untuk 'perkhidmatan' berkenaan, saya dan menantu tidak terpilih menerima bantuan tersebut berbanding dengan penduduk lain.
Menerusi Rakan Pahang, apa yang kami kesalkan iaitu keinginan kami menikmati kemudahan bantuan kerajaan Barisan Nasional (BN) dimanipulasi dengan penindasan apabila melihat etnik kami tidak tahu membaca dan menulis.
Sikap individu berkenaan mengeksploitasi kuasa dan kesempatan terhadap etnik di sini untuk mencari wang secara mudah amat tidak wajar.
Kerajaan BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerap menguar-uarkan perkhidmatan berintegriti, khususnya membantu kebajikan penduduk dan kemiskinan Orang Asli.
Saya meminta wakil rakyat jenguklah masalah kebajikan kami kerana setiap kali pilihan raya umum, kami juga adalah insan yang menentukan pemerintah sentiasa menyokong kerajaan sehingga kini.
KELIRU MERANTI
Kampung Sematau, Jerantut

No comments:

Post a Comment