Thursday, June 21, 2012

bandar tun razak

ARKIB : 21/06/2012

Bandar Tun Razak milik bumiputera

Adnan Yaakob melawat gerai medan selera selepas perasmian Medan Selera (tapak ekspo) Bandar Tun Abdul Razak, Jengka, Maran, baru-baru ini. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
KUALA KRAU 20 Jun - Bandar Tun Abdul Razak Jengka di sini akan kekal menjadi milik bumiputera jika penduduk dan peniaga bersepakat serta bersatu dalam menguruskan 'kek' ekonomi yang disediakan oleh kerajaan.
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, ia kerana kerajaan negeri tidak bercadang mengazetkan bandar itu sebagai bandar bumiputera terulung di negara ini.
Menurutnya, walaupun ada cadangan supaya bandar tersebut digazetkan, namun adalah lebih baik penduduk serta peniaga sendiri bersatu untuk menjadikan bandar berkenaan maju dan kekal dimiliki oleh bumiputera.
"Dalam keadaan ekonomi negara yang semakin berkembang, para peniaga bumiputera perlu komited terhadap urusan tanpa bergantung penuh kepada keistimewaan tertentu daripada kerajaan.
"Sikap positif penduduk dan peniaga dapat membantu mereka mengekalkan aset sedia ada daripada direbut pihak lain yang lebih berdaya saing," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Medan Selera Bandar Tun Abdul Razak Jengka yang mengandungi 24 unit gerai bernilai RM2.7 juta, di sini baru-baru ini.
Medan selera tersebut merupakan projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dengan menggunakan peruntukan khas kerajaan Persekutuan untuk kawasan bekas pentadbiran Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ).
Hadir sama, Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said; Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Wan Salman Wan Ismail.
Bagaimanapun, Adnan menegaskan, kerajaan negeri memberi jaminan bandar itu akan terus dibantu daripada aspek pembangunan prasarana dan sebagainya.
Jelasnya, ia terbukti dengan pelbagai projek pembangunan seperti terminal bas bersepadu di Nadi Kota yang bakal merancakkan lagi kegiatan di bandar berkenaan pada masa akan datang.
"Bandar ini mempunyai prospek kemajuan sangat pesat kerana kedudukannya berhampiran dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang yang kini mempunyai bilangan pelajar kira-kira 10,000 orang.
"Di samping itu, lokasinya yang terletak di tengah-tengah Felda Wilayah Jengka dijangka dapat menambahkan lagi nilai-nilai kemajuan dan kepesatan bandar ini," katanya.

No comments:

Post a Comment