Thursday, June 28, 2012

pokok di triang

Dua pokok perlu ditebang
Wartawan Sinar Harian
27 Jun 2012
Dua pokok perlu ditebang
Singh (kiri), Ah Peng dan Lui Sang menunjukkan pokok besar yang didakwa mengancam nyawa penduduk dan orang ramai.
TRIANG – Penduduk sekitar Taman Orkid dekat sini, minta pihak berkenaan menebang dua pokok yang sudah menjangkau usia lebih 100 tahun ekoran pokok besar itu berisiko menghempap rumah penduduk.

Seorang penduduk, Ah Peng, 65, berkata, kira-kira 10 tahun lepas, dahan pokok tersebut pernah menghempap bahagian depan dan bilik tidur rumahnya.

Menurutnya, kejadian itu bukan disebabkan dahan pokok sudah mati tetapi terlalu berat dek pokok yang subur.

“Nasib baik masa kejadian itu, saya dan keluarga tiada di rumah. Kalau tidak, sudah lama saya mati. Bukan rumah saya sahaja kena hempap, rumah jiran di hadapan juga nyaris dihempap
dahan itu. Kini, jiran saya bimbang kalau perkara sama berlaku kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, Lui Sang, 71, berkata, penduduk di sini sudah terlalu kerap meminta bantuan pihak berkenaan untuk menebang pokok itu tetapi aduan kami tidak dipedulikan.

Katanya, masalah yang sama juga disalurkan kepada wakil pemimpin namun pihak terbabit sekadar menabur janji manis yang diberikan sejak dua kali pilihan raya umum (PRU) diadakan.

“Kalau tidak mahu tebang sekalipun, cantaslah dahan-dahan yang mengganggu wayar elektrik di sini demi keselamatan orang ramai.

“Orang yang lalu lalang di sini juga berasa risau sekiranya dahan itu menghempap mereka,” katanya.

Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Singh, 46, berkata, tindakan pihak berkenaan yang mengabaikan permintaan penduduk adalah tidak wajar.

Menurutnya, kedua-dua pokok itu mesti ditebang kerana ia terlalu dekat dengan landasan kereta api dan rumah kedai di sini.

“Kami berharap ada pihak tampil menyelesaikan masalah ini supaya keselamatan penduduk dan orang ramai terjamin,” katanya kepada Sinar Harian.

No comments:

Post a Comment