Tuesday, June 19, 2012

aim

AIM Bandar Kuantan galak wanita berniaga
Wartawan Sinar Harian
18 Jun 2012

KUANTAN - Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) cawangan bandar Kuantan menyalurkan pinjaman berjumlah RM3 juta kepada seramai 1,400 peserta pada tahun ini dengan 99 peratus kadar bayaran balik.

Penolong Pengurusnya, Tuan Haazan Tuan Yusof berkata, pinjaman diberikan kepada kebanyakan wanita terdiri daripada suri rumah untuk menjana pendapatan menerusi perniagaan.

Menurutnya, ramai peserta memilih memulakan perniagaan dalam bidang ternakan dan pertanian. “Pinjaman pertama berjumlah antara RM500 hingga RM3,000 membabitkan tempoh enam bulan hingga setahun.

“Sekiranya berjaya menunjukkan potensi dan berkembang maju, peserta boleh memohon pinjaman untuk pusingan kedua dengan jumlah RM6,000,” katanya pada Program Hari Keluarga AIM Blok Indera Mahkota, di sini, baru-baru ini. Hadir merasmikan program, Pengerusi Pembangunan Masyarakat dan Keluarga Parlimen Indera Mahkota, Datuk Mohd Hazmi Yusof.

Tuan Haazan berkata, pinjaman itu juga boleh mencecah sehingga RM25,000 sekiranya peserta berjaya mengusahakan perniagaan mereka dengan baik. “Kita memantau projek diusahakan mereka selepas seminggu atau dua minggu pinjaman diberikan.

“Ia untuk mengelak penyalahgunaan pinjaman dan setakat ini, kes itu hanya membabitkan jumlah kecil,” katanya. Menurutnya, Blok Indera Mahkota mempunyai ramai ahli dan menerima pinjaman berjumlah RM1.5 juta membabitkan seramai 130 orang.

Sementara itu, Mohd Hazmi berkata, usaha dilakukan AIM merupakan pendekatan terbaik untuk menggalakkan wanita menjana pendapatan.

“Ia secara tidak langsung dapat menambah pendapatan ketua keluarga ekali gus menonjolkan bakat berniaga dalam kalangan wanita,” katanya.

No comments:

Post a Comment