Thursday, June 21, 2012

gahai

ARKIB : 21/06/2012

Agropolitan Gahai capai matlamat

Wan Rosdy Wan Ismail (dua dari kiri) bersama penduduk miskin memetik nanas komersial di Projek Agropolitan di Tanjong Gahai.
CAMERON HIGHLANDS 20 Jun - Jika dilihat secara keseluruhannya, kepesatan pembangunan dan kemajuan negara dalam pelbagai bidang sejak mencapai kemerdekaan 55 tahun lalu bergerak pada landasan yang sangat baik.
Dalam kerancakan pembangunan itu juga, masyarakat minoriti termasuk rakyat di kawasan luar bandar tidak dipinggirkan sebaliknya diberi perhatian khusus menerusi perkongsian kemajuan dan pencapaian ekonomi negara.
Ia terbukti apabila pembangunan luar bandar dan pembasmian kemiskinan menjadi agenda utama dalam kerangka pembangunan kerajaan serta digerakkan secara khusus di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Perkara itu dizahirkan kerajaan negeri dengan mewujudkan Projek Agropolitan Tanjong Gahai di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai dalam kawasan Parlimen Cameron Highlands tetapi dalam daerah Lipis sejak enam tahun lalu.
Projek berkenaan dirasmikan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 5 Ogos 2008 apabila menyerahkan kunci rumah kepada seramai 50 keluarga miskin di daerah Lipis.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek berkenaan antara mekanisme kerajaan negeri meningkatkan taraf hidup rakyat di luar bandar sekali gus menjadi perintis usaha membasmi kemiskinan tegar di negeri ini.
Beliau berkata, projek bernilai RM13.05 juta itu melibatkan kawasan seluas 220 hektar meliputi perumahan, surau, dewan, pusat rekreasi, tabika, ladang nanas komersial dan premis industri kecil dan sederhana (IKS).
"Tanah seluas enam hektar dimajukan untuk tapak 50 rumah dan kemudahan asas lain yang siap sepenuhnya untuk penduduk berkenaan bagi memulakan kehidupan baru," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands berkata, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) selaku agensi pelaksana memajukan seluas 200 hektar tanah untuk tanaman getah manakala 14 hektar lagi untuk tanaman nanas komersial.
Jelasnya, kerajaan juga membina lima premis perniagaan untuk penduduk menjalankan aktiviti perniagaan seperti barangan runcit, bengkel motosikal, jahitan dan makanan.
Keluarga miskin pula katanya, telah menerima saham daripada hasil pasaran komoditi getah serta berpeluang menceburi sektor IKS bagi pengeluaran makanan pada masa akan datang.
"Pembangunan agropolitan di Gahai juga merangkumi kemudahan infrastruktur termasuk bekalan air, elektrik dan jalan raya di samping tapak tanaman kontan untuk memberi keselesaan hidup penduduk miskin di sini," katanya.
Wan Rosdy menambah, projek itu akan memberi keutamaan kepada pembangunan modal insan melalui kemudahan tabika, kursus dan latihan kemahiran untuk kumpulan sasar menerusi bantuan bimbingan oleh semua agensi kerajaan.

No comments:

Post a Comment