Tuesday, June 12, 2012

orang asli unik

ARKIB : 12/06/2012

Keunikan suku kaum Orang Asli Pahang

KANAK-kanak anak Orang Asli Batek tinggal di kediaman yang dibina berbumbungkan daun kayu dan beralaskan tikar jerami di sebuah perkampungan di Dedari, Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut.
JERANTUT 11 Jun - Sebelum memasuki bandar Jerantut, mata para pelawat akan terpandang pada sebuah papan tanda memaparkan seorang penduduk Orang Asli sedang memburu menggunakan buluh sumpitan.
Terdapat dua suku Orang Asli di daerah ini iaitu suku Jahut yang mendiami Lembah Kiol, Sungai Rengat dan Sungai Berjuang di kawasan Damak manakala suku Batek pula sinonim dengan hutan belantara, tinggal di Tembeling Tengah, Kuala Tahan serta Hulu Tembeling.
Melihat kehidupan dua suku etnik berkenaan, senario kehidupan mereka tidak ada bezanya iaitu menjadikan kawasan hutan sebagai tempat mencari rezeki seperti gaharu, rotan, ubat-ubatan herba dan kegiatan pemburuan.
Mengikut bancian Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Pahang, jumlah Orang Asli paling ramai di negeri iaitu kira-kira 64,000 orang diikuti Perak seramai 42,841 orang.
Komuniti mereka pula dibahagikan kepada beberapa suku atau etnik utama iaitu Senoi, Negrito, Jahut, Semai, Bateq, Temetong dan Melayu Proto yang mana setiap daripada suku itu mempunyai dialek tersendiri.
Pelawat perlu melalui bandar Jerantut sebelum ke Taman Negara Kuala Tahan sejauh 92 kilometer untuk melihat sosio kehidupan suku Batek di sana.
Jika memandu melalui Jalan Jerantut ke Benta, pelawat dapat singgah di kampung Orang Asli Jahut. Kehidupan mereka sudah berubah setanding kaum lain di sini.
Di Taman Negara Kuala Tahan pula etnik Orang Asli Batek antara suku minoriti yang suka berpindah-randah dengan menjalankan rutin harian memburu dan mengutip hasil hutan untuk kegunaan sendiri atau dijual kepada pelancong.
NURUL HIDAYAH Abdullah menunjukkan cara memasak nasi dan ubi kayu di dalam buluh dengan beralaskan daun pisang di sebuah penempatan Orang Asli di Jerantut.
Perpindahan suku etnik itu seringkali dikaitkan dengan kepercayaan animisme seperti berlaku kematian, tanah tidak subur untuk bercucuk tanam, bencana dan kepercayaan kepada kuasa ghaib.
Oleh itu, suku Batek hanya membina kediaman berbentuk pisang sesikat berbumbungkan atap nipah dan daun, lantainya beralaskan buluh dan kayu untuk tempat berbaring bersama ahli keluarga.
Berbeza pula dengan suku Jahut, kehidupan mereka menerima tempias pembangunan apabila kerajaan membina penempatan tetap di sesebuah tempat dan melupai kehidupan hutan dan hidup berpindah-randah.
Mereka hanya tertumpu kepada sektor pertanian iaitu penanaman kelapa sawit, getah, padi huma, peniaga dan pemborong. Inilah yang mengubah kehidupan golongan itu sama seperti masyarakat Melayu.
Golongan itu juga peka terhadap bidang pelajaran dengan menghantar anak-anak belajar di sekolah kebangsaan di penempatan Orang Asli Sungai Kiol dan menyambung ke peringkat menengah di bandar ini.
Penempatan Orang Asli Batek di Dedari dan Kuala Yong kira-kira 15 minit menaiki bot dari Resort Taman Negara yang dihuni oleh lima hingga tujuh keluarga seringkali menjadi persinggahan pelancong.
Pelawat boleh melihat keunikan hidup Orang Asli Batek yang mahir menggunakan sumpit, menghidupkan api dengan kayu meranti dan selok-belok hidup di hutan.
Pengetahuan mendalam mengenai perkara itu adalah kelebihan Orang Asli Batek untuk menjadi pemandu pelancong berdaftar dan bot penambang di Taman Negara Kuala Tahan.
Sesuatu yang unik mengenai makanan tradisional masyarakat Orang Asli ialah mereka memasak makanan seperti nasi, ikan dan ayam, ubi kayu, ubi gadung serta ubi jaga di dalam buluh.
Di Sungai Rengat berdekatan pekan Damak pula, suku Jahut yang sudah sebati dengan tempias pembangunan masih tidak melupakan bahan kesenian yang diwariskan oleh nenek moyang mereka iaitu mengukir patung kayu.
SEORANG pelawat cuba menggunakan buluh sumpitan di penempatan Orang Asli Batek di Dedari, Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut.
Tetapi kesenian itu mungkin tidak kekal lama kerana cuma tinggal seorang sahaja pengukir suku Jahut, iaitu Hassan Majid yang kini berstatus warga emas dan kerap uzur.
Asalnya kesenian ukiran patung sinonim dengan tujuan perubatan dan bomoh tetapi kini beralih menjadi bahan cenderamata dan perhiasan rumah.
Seorang penduduk, Menderu Serama, 45, berkata, pembangunan sektor pelancongan di Kuala Tahan dengan kehadiran pelawat dari seluruh dunia dapat memberi sumber rezeki kepada mereka.
"Saya berpeluang menjadi pemandu bot penambang dan bertindak sebagai penunjuk arah perjalanan menerokai hutan di sini. Dapatlah sedikit wang upah untuk belanja dapur," katanya.
Menurut Menderu, kadangkala mereka ke hutan mencari gaharu, rotan dan apa sahaja asalkan boleh dikomersialkan.
Berlainan pula Hassan, dia memikirkan masa depan seni ukiran patung Jahut setelah ketiadaannya nanti kerana tiada generasi baru yang meminati bidang itu.
"Anak-anak muda sekarang lebih suka bergayut dengan telefon canggih dan mahal serta menunggang motosikal ke hulu-hilir sehingga melupai kesenian kaum sendiri," tambahnya.

No comments:

Post a Comment