Thursday, June 21, 2012

kumpul data

UMNO Bera wujudkan pangkalan data ahli

BERA 21 Jun - UMNO Bahagian Bera mewujudkan pangkalan data profil ahli dan keluarga mereka bagi memudahkan sebarang bentuk bantuan serta perkhidmatan dapat disalurkan dengan lebih efisyen.

Ketua UMNO Bahagian Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, maklumat itu penting untuk membolehkan parti itu mengetahui secara terperinci mengenai latar belakang, sikap serta segala masalah berkaitan ahli dan keluarga mereka.

Menurut beliau, melalui langkah itu pemimpin cawangan dapat mengumpul maklumat ahli dan keluarga mereka sebelum menyalurkan kepada Biro Keahlian UMNO Bahagian Bera untuk tindakan segera.

''Langkah itu untuk memastikan kebajikan ahli terjaga selain meneruskan aktiviti turun padang bagi mengatasi masalah rakyat di kawasan ini,'' katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan 200 pemimpin UMNO Bahagian Bera di Dewan UMNO di sini baru-baru ini.

Ismail Sabri yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata, pemimpin UMNO di peringkat cawangan diminta jangan hanya memilih kelompok ahli atau kroni dalam penyampaian dasar serta maklumat kerajaan.

Tegasnya, mereka perlu menyebarkan kepada semua rakyat supaya mengetahui bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak amat serius dalam membela rakyat.

Menurut beliau, pemimpin terbabit perlu mengubah persepsi supaya rakyat tidak melihat mereka sebagai kumpulan elit yang sukar untuk didekati.

''Perjuangan untuk satu kelompok sahaja patut dihindari tetapi sebaliknya perjuangan UMNO adalah perjuangan tulen yang membela rakyat tanpa mengira kaum atau bangsa," katanya.

No comments:

Post a Comment