Tuesday, June 12, 2012

agro bazar

ARKIB : 12/06/2012

Agro Bazar di Pasar Tani Jerantut

Wan Abdul Aziz Wan Mansor (tengah) bersama Hairrulnizam Othman (kiri) menunjukkan produk FAMA yang terdapat di Agro Bazar Kedai Rakyat di Pasar Tani Jerantut, semalam.
JERANTUT 11 Jun - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membuka sebuah lagi Agro Bazar Kedai Rakyat di daerah ini dan merupakan yang pertama beroperasi dalam kawasan pasar tani.
Pegawai FAMA Jerantut, Hairrulnizam Othman berkata, seorang peserta, Wan Abdul Aziz Wan Mansor dipilih untuk mengubah suai kedainya yang terletak di dalam kawasan pasar tani yang menelan belanja kira-kira RM30,000.
"Sebuah kedai runcit beroperasi di dalam kawasan pasar tani ini dan kami menawarkan kepada pemiliknya mengubah suai premis tersebut menjadi Agro Bazar Kedai Rakyat dan dia bersetuju," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Hairrulnizam berkata, pengubahsuaian itu menggunakan konsep ditetapkan oleh FAMA dan barangan yang dijual juga adalah hasil keluaran agensi itu, selain produk usahawan kecil dan sederhana (IKS) tempatan serta barangan lain seperti yang terdapat di kedai runcit biasa.
"Kedai rakyat ini tidak menjual barangan basah dan sayur-sayuran seperti kedai rakyat lain kerana ia terletak di dalam kawasan pasar tani. Orang ramai boleh mendapatkan barangan tersebut secara terus di pasar tani berkenaan.
"Kita memberi khidmat nasihat secukupnya kepada pemilik kedai tersebut dan berharap agar pendapatan pemiliknya semakin meningkat selepas kedai lamanya diberi penjenamaan semula oleh FAMA," ujarnya.
Selain itu, beliau mengalu-alukan pemilik premis perniagaan di daerah ini untuk menjadi peserta Agro Bazar Kedai Rakyat dan mereka yang berminat boleh menghubungi pejabat FAMA Jerantut di talian 09-2672925.
Dalam pada itu, Wan Abdul Aziz berkata, dia dan isterinya, Salmah Abdul Wahab bersetuju mengubahsuai kedai mereka menjadi Agro Bazar Kedai Rakyat sebaik dipelawa oleh FAMA.
"Kedai saya kini lebih ceria dengan susun atur barangan dan berjaya menarik lebih ramai pelanggan berbanding sebelum ini.
Bagaimanapun, barangan dijual tidak banyak memandangkan baru beroperasi dan kami akan menambahkannya dari semasa ke semasa ," jelas Wan Abdul Aziz.
Dia memberitahu, FAMA membantunya untuk mengembangkan perniagaan dan melakukan perubahan sepenuhnya terhadap kedai tersebut.

No comments:

Post a Comment