Saturday, June 30, 2012

sukma

ARKIB : 29/06/2012

Peniaga jangan ambil kesempatan

Kehangatan Sukan Malaysia (Sukma) 2012 mula dirasai apabila papan tanda menyambut kedatangan atlet dari seluruh negara dipasang di Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Saudara Pengarang,
Menjelang kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) 2012 yang bakal bermula pada 7 Julai ini, saya sebagai anak jati negeri Pahang berbangga apabila temasya sukan yang dianggap terbesar negara akan berlangsung di negeri ini.
Namun, sebagai anak tempatan saya ingin menyeru kepada peniaga khususnya pengusaha makanan agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga dan caj perkhidmatan sewenang-wenangnya kepada orang ramai, khususnya pelawat yang mengunjungi negeri ini.
Saya percaya, ada segelintir peniaga melakukan sedemikian demi meraih keuntungan berlipat ganda sehinggakan mereka sanggup mengenepikan mutu dan kualiti produk yang dihasilkan.
Sepatutnya, mereka perlu mempamerkan identiti serta imej terbaik kepada pengunjung dari luar bagi membuktikan bahawa negeri Pahang sentiasa menghasilkan produk yang berkualiti dengan menawarkan harga berpatutan.
Perlu diingat bahawa kita selaku tuan rumah perlu mengekalkan identiti negeri ini yang sememangnya kaya dengan produk pelancongan menarik dan tidak mahu kerana hal sedemikian akan menimbulkan persepsi negatif kepada pelanggan.
Sebaliknya, peniaga harus berterima kasih kepada pihak kerajaan negeri yang membuka peluang kepada usahawan tempatan memperkenalkan produk mereka kepada pengunjung luar dengan menyediakan tapak perniagaan di lokasi sepanjang Sukma berlangsung.
Dengan kadar sewa rendah, tidak wajar sekiranya peniaga masih ingin menaikkan harga produk mereka, sedangkan pihak kerajaan banyak membantu dalam usaha meningkatkan pendapatan golongan berkenaan.
Selain itu, dengan adanya Ops Sukma yang dilancarkan oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Pahang baru-baru ini, saya percaya ia dapat membendung peniaga yang tidak beretika, selain memastikan kepentingan pengguna terpelihara.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Datuk Fong Koong Fuee baru-baru ini, operasi itu bertujuan mengawal harga barangan dan membuat pemantauan sepanjang kejohanan Sukma, termasuk di peringkat runcit dan borong.
Oleh demikian, saya berharap pihak bertanggungjawab dapat menjalankan pemantauan setiap masa serta jangan ada kompromi terhadap mana-mana peniaga yang tidak beretika dan melanggar peraturan tanpa alasan yang munasabah.
Kepada semua pengusaha perniagaan, saya berharap mereka dapat manfaatkan peluang yang diberikan sebaik mungkin serta dapat menjaga nama baik negeri Pahang sepanjang acara berlangsung, selain mematuhi setiap peraturan.
ABANG ZAFRI,
Kuantan, Pahang

No comments:

Post a Comment