Saturday, June 30, 2012

chef pahang

ARKIB : 29/06/2012

SMK Seri Bahagia juara Chef Remaja Pahang

Peserta SMK Seri Bahagia, Temerloh yang menjuarai Chef Remaja Pertandingan Memasak 2012 peringkat negeri di Maran, kelmarin.
MARAN 28 Jun - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bahagia, Temerloh muncul juara Chef Remaja Pertandingan Memasak 2012 peringkat negeri di SMK Desa Jaya dekat sini semalam.
Pada pertandingan itu, SMK Seri Bahagia berjaya mengetepikan 10 sekolah menengah lain yang mewakili daerah masing-masing di negeri ini.
Dengan kemenangan tersebut, SMK Seri Bahagia akan mewakili Pahang ke peringkat kebangsaan yang bakal diadakan di Selangor, Oktober depan.
Selaku johan, sekolah tersebut membawa pulang wang RM1,000, pingat, hamper produk Maggi dan dapur masak mudah alih manakala naib johan iaitu SMK Perwira Jaya, Rompin menerima wang RM500, pingat, hamper produk Maggi dan dapur masak mudah alih.
Tempat ketiga pula diraih SMK Pandan, Kuantan yang membawa pulang wang RM300, pingat, hamper berasaskan produk Maggi selain dapur masak mudah alih.
Pada pertandingan akhir itu, pasukan naib juara, SMK Perwira Jaya, Rompin turut diumumkan pemenang kategori Maggi Kreatif.
Ketua Unit, Unit Kokurikulum Jabatan Pelajaran Negeri, Ramli Yahya berkata, kerjaya sebagai chef kini semakin diminati golongan remaja berdasarkan tinjauan rambang di sekolah.
‘‘Ini satu perkembangan baik kerana chef sememangnya mempunyai prospek kerjaya yang bagus berikutan permintaan tinggi dari hotel, restoran mahupun kedai makan menyaksikan tukang masak mahir jadi rebutan.
‘‘Sebab itu, pertandingan Chef Remaja anjuran Kementerian Pelajaran ini mendapat sambutan pelajar yang berhasrat menjadikan bidang masakan sebagai satu kerjaya," katanya.
Menurut Ramli, pertandingan itu juga dapat menimbulkan kesedaran terhadap masakan berkhasiat dan kepentingan pemakanan seimbang.

No comments:

Post a Comment