Sunday, June 10, 2012

polis zaman darurat

15 bekas polis zaman darurat terima sagu hati kerajaan

Mohd. Sahfri Abdul Aziz (berdiri tiga dari kanan) bersama 15 bekas anggota polis pada Majlis Penyampaian Sagu Hati Khas di Padang Awam Bukit Bendera, Temerloh, baru-baru ini.
TEMERLOH 10 Jun - Seramai 15 bekas anggota polis pada zaman darurat dan balu mereka yang menetap di daerah ini menerima sumbangan sagu hati khas kerajaan bernilai RM3,000 setiap seorang baru-baru ini.
Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Datuk Mohd. Sahfri Abdul Aziz pada majlis khas yang dianjurkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh di sini.
Menurut Mohd. Safri, kerajaan prihatin dengan nasib mereka yang sanggup berkorban dan mempertahankan tanah air dalam menentang komunis.
''Sumbangan itu bertujuan menghargai sumbangan wira negara yang berkhidmat sebagai anggota polis semasa zaman darurat,'' katanya yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob selepas menyampaikan sumbangan berkenaan pada satu majlis khas di Padang Awam Bukit Bendera di sini baru-baru ini.
Hadir sama Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Nor Mansor dan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara Integrasi dan Nasional Pahang, Fairojibanu Zainal Abidin.
Mohd. Sahfri berkata, kerajaan akan berusaha mengesan bekas anggota yang belum menerima sumbangan itu dan mereka berpeluang mendapat sumbangan khas tersebut.
Dalam pada itu, seorang penerima, Talib Said, 80, dari Kampung Batu Kapor, Mentakab tidak menyangka mendapat pemberian ihsan kerajaan kerana pengorbanan mereka selama ini dihargai.
"Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak begitu prihatin dengan nasib golongan seperti kami kerana beliau menghargai sumbangan pejuang dalam mempertahankan tanah air pada waktu itu,'' katanya.
Seorang lagi penerima, Omar Ahmad, 78, dari Kampung Lebak Seberang di sini terharu dan berterima kasih kepada kerajaan di atas sumbangan tersebut.
Bagi Ketua Cawangan Mentakab Persatuan Bekas Polis Pahang, Lim Hock Ching, 82, kerajaan melakukan tindakan terbaik bagi menghargai pengorbanan polis yang bertugas pada zaman darurat.
Menurutnya, sejak menceburkan diri dalam pasukan polis dari 1953 hingga 1959, pelbagai dugaan dan cabaran ditempuhi demi memastikan keamanan negara.
Seorang penerima, Wahid Tan, 86, dari Taman Mutiara, Mentakab mengakui sangat teruja menerima sumbangan itu kerana dia tidak pernah terfikir memperolehnya setelah bersara dari pasukan polis lebih 40 tahun lalu.

No comments:

Post a Comment