Thursday, November 24, 2011

tumpas

Kumpulan pecah rumah tumpas


AHMAD Johari Shahabudin Mohamad (tengah) bersama sepasukan pegawai polis menunjukkan barangan rampasan seperti parang yang digunakan oleh perompak yang berjaya diberkas di Jengka 10 di Maran, semalam.


MARAN 24 Nov. – Polis percaya dapat menyelesaikan empat kes samun dan pecah rumah di tanah rancangan Felda Jengka 10 di sini, sejak awal tahun ini, dengan tertangkapnya tiga suspek semalam.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Ahmad Johari Shahabudin Mohamad berkata, ketiga-tiganya ditangkap selepas memecah masuk sebuah rumah peneroka di tanah rancangan itu, pukul 3 pagi.
Menurutnya, suspek yang dipercayai warga asing turut bergelut dengan mangsa sebelum menetak mangsa dan melarikan diri bersama barangan berharga di rumah itu.
“Bagaimanapun, ketiga-tiga suspek ditahan polis dengan kerjasama penduduk kampung dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) semasa mereka cuba melarikan diri di kawasan belukar berhampiran,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan awal, polis menemui semula barangan yang dicuri iaitu empat telefon bimbit, masing-masing satu jam tangan, gelang emas, dompet dan komputer riba.
Tambahnya, tiga beradik dan seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) yang cedera semasa bergelut dengan suspek menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh.
“Kumpulan itu berbahaya kerana sanggup menetak mangsa sekiranya cuba melawan.
“Kita percaya empat kes samun di tanah rancangan itu sejak awal tahun ini dapat diselesaikan,” katanya sambil memberitahu suspek ditahan reman untuk membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment