Tuesday, November 29, 2011

dapat penghargaan melawan penyamun

Terima penghargaan tangkap 3 penyamun


Sharifuddin Abd. Ghani (dua dari kanan) bertanya sesuatu kepada Mohd. Shahidi Ismail, (tiga dari kanan) sambil diperhatikan Ismail Mohamad (kanan sekali), Ahmad Johari (kiri), Al Hafiz (dua kiri) dan Mohd. Faiz (tiga dari kiri) ketika ditemui di Felda Jengka 10, Maran, baru-baru ini.


MARAN 29 Nov. - Empat pemuda termasuk tiga beradik yang cedera ditetak tiga penjenayah dalam kejadian samun di Felda Jengka 10 di sini minggu lalu terharu apabila menerima kunjungan Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abd. Ghani di sini kelmarin.
Keempat-empat mereka ialah Mohd. Shahidi Ismail, 23; dan dua adiknya, Mohd. Faiz, 20, dan Al-Hafiz,16, serta seorang anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS), Saiful Amri Kamaruddin, 29.
Sharifuddin berkata, beliau memuji keberanian pemuda terbabit dan bersimpati dengan kejadian yang menimpa mereka.
Selain itu, beliau turut gembira dengan komuniti Felda Jengka 10 yang menubuhkan unit SRS bagi membantu pihak polis menguatkuasakan ketenteraman awam.
"Ahli komuniti perlu segera menghubungi polis yang bersiap sedia membantu jika membabitkan kes samun atau rompakan bersenjata bagi mengelak sebarang risiko terutama melibatkan nyawa," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Dalam kejadian pada 25 November lalu, tiga lelaki warga asing bersenjatakan parang menceroboh rumah Ismail Mohamad bertindak menyamun sembilan unit telefon bimbit, seutas gelang emas, sebuah jam tangan, sebuah komputer riba dan wang tunai RM70.
Pada kunjungan itu, Sharifuddin menyampaikan sijil penghargaan ke atas keberanian mereka melawan dan menangkap penjenayah tersebut.
Beliau berkata, ketiga-tiga suspek ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan ketika melakukan samun berkawan tanpa senjata.
Turut hadir di majlis penghargaan tersebut, Ketua Polis daerah Maran, Ahmad Johari Shahabudin Mohamad.

No comments:

Post a Comment