Friday, November 18, 2011

judi internet

Judi Internet semakin menular


Ti Lian Ker menyerahkan wang bantuan khas RM100 kepada ibu pelajar menerusi penjaga mereka di Sekolah Menengah Kebangsaan Air Putih (SMKAP) di Kuantan, Pahang, baru-baru ini.


KUANTAN 18 Nov. - MCA Kuantan bimbang dengan aktiviti perjudian Internet yang didapati semakin menular di kalangan pelajar sekolah menengah di sekitar bandar ini.
Pengerusi MCA Kuantan, Datuk Ti Lian Ker berkata, masalah itu difahamkan semakin serius sehingga ada pelajar sanggup berhutang dengan ah long untuk melepaskan ketagihan mereka kepada judi Internet yang ditawarkan di kafe-kafe siber.
''Saya minta sangat ibu bapa pantau aktiviti anak-anak bagi mengelakkan terjebak dengan perkara ini. Biasanya ibu bapa hanya tahu yang anak mereka terlibat judi apabila dihubungi ah long.
''Saya sendiri ada menerima aduan daripada ibu bapa yang terkejut anak-anak mereka terlibat dengan ah long akibat judi Internet.
''Malah sudah ada beberapa kes yang saya sendiri bantu ibu bapa selesaikan hutang ah long yang dibuat anak-anak mereka," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian wang bantuan khas persekolahan 2012 di Sekolah Menengah Kebangsaan Air Putih (SMKAP) di sini kelmarin.
Kira-kira 1,500 pelajar SMKAP layak menerima wang RM100 sebagai bantuan persekolahan yang diberikan kepada pelajar di seluruh negara.
Hadir sama, Pengetua SMKAP, K. Nandakumar dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKAP, K. Rajagopal.
Lian Ker berkata, sehubungan itu, sebaik-baiknya ibu bapa sendiri menyimpan wang RM100 yang diberikan itu bagi memastikan ia dibelanjakan sebagai persediaan pelajar untuk sesi baharu persekolahan akan datang.
"Wang berkenaan perlu digunakan dengan baik bagi persediaan persekolahan pada tahun depan.
"Saya nasihatkan ibu bapa agar memantau pergerakan anak-anak dan mengelakkan mereka menggunakan wang berkenaan untuk tujuan negatif seperti berjudi di kafe-kafe siber," katanya.

No comments:

Post a Comment