Friday, November 18, 2011

serah komputer

20 komputer diagih kepada tujuh sekolah


Mazlan Mohamad (kiri) menyerahkan komputer riba kepada wakil sekolah pada satu majlis ringkas di Jabatan Pelajaran Negeri di Kuantan, kelmarin.


KUANTAN 18 Nov. - Sebanyak 20 komputer riba yang disumbangkan oleh syarikat Nexbis Sdn. Bhd. (NEXBIS) diagihkan kepada tujuh sekolah di Pahang dalam satu majlis ringkas di Jabatan Pelajaran negeri di sini semalam.
Sekolah yang menerima komputer riba itu adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Karak Setia, Bentong; SMK Gali, Raub; SMK Rompin Permai, Rompin; Sekolah Kebangsaan (SK) Mentakab Jaya, Temerloh; SK Kerayong, Bera; SK Sentosa, Maran dan SK Pulau Serai, Pekan.
Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran, Datuk Mazlan Mohamad berkata, sumbangan itu merupakan satu tanggungjawab sosial syarikat berkenaan bagi membolehkan pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di sekolah dapat dijalankan dengan baik.
"Pemberian kepada sekolah ini adalah berdasarkan potensinya untuk menjadi sekolah cemerlang selain daripada faktor terletak di luar bandar," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan komputer riba itu kepada wakil sekolah terlibat.
Hadir sama Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Yahya Zainal Abidin.
Mazlan berkata, sekolah yang menerima komputer riba itu diharap menggunakannya dengan berhemah agar pengurusan sekolah dapat dijalankan dengan sempurna.
Dalam pada itu, beliau meminta syarikat-syarikat korporat terutama syarikat milik kerajaan (GLC) supaya tampil menjalankan tanggungjawab sosial mereka kepada sektor pendidikan di dalam negara.
Katanya, tanggungjawab sosial penting bagi memastikan pendidikan para pelajar di Malaysia terus maju.

No comments:

Post a Comment