Monday, November 21, 2011

kelawar

Memahami kehidupan kelawar


SEBAHAGIAN daripada peserta termasuk pelajar Sekolah Menengah Damansara Damai dan beberapa sekolah menengah daerah Temerloh bergambar selepas perasmian MyBats Camp 2011 di Lanchang, Pahang, baru-baru ini.


TEMERLOH 21 Nov. – Industri filem Hollywood menggambarkan Batman atau lelaki kelawar sebagai hero dan penyelamat bandar Gotham apabila keluar menentang penjenayah pada waktu malam.
Namun, dalam dunia realiti, kewujudan kelawar adalah sebaliknya, binatang yang aktif waktu malam ditakuti dan digeruni apabila spesies mamalia itu sering kali dikaitkan dengan perkara-perkara yang menyeramkan.
Hakikatnya kelawar sebenarnya memainkan peranan penting dalam ekosistem dan ia perlu dilindungi dan dipulihara demi kepentingan biodiversiti.
Mamalia itu yang tergolong dalam order chiroptera boleh ditemui di merata-rata tempat di seluruh dunia.
Terdapat 1,200 spesies dan negara ini juga merupakan pusat utama bagi kepelbagaian kelawar dunia yang mana 118 spesies mamalia boleh terbang serta mendiami dalam pelbagai jenis hutan, paya bakau, gua serta kawasan perumahan.
Daripada jumlah tersebut, 72 spesies kelawar terdapat di hutan Rezab Hidupan Krau yang terletak dalam Hutan Simpan Kekal Krau di Lanchang, di sini menjadikan antara kawasan habitat hidupan mamalia cukup unik.
Menyedari faedah dan sumbangan besar yang disumbangkan oleh kelawar, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil inisiatif melaksanakan program meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan kelawar.
Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Abd. Rasid Samsudin, haiwan itu merangkumi hampir suku daripada spesies mamalia di dunia.
‘‘Menerusi kerjasama Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Kementerian Pelajaran, Yayasan Anak Warisan Alam (YAWA) dan Zoo Negara, Perhilitan menganjurkan program Mybats Camp 2011 di Institut Biodiversiti Bukit Rengit, Lanchang baru-baru ini.
‘‘Melalui program ini, kesedaran terhadap kepentingan melindungi dan pemuliharaan kelawar terhadap orang awam dimulakan di kalangan pelajar sekolah menengah yang membabitkan pelajar tingkatan dua dan empat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Seramai 80 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damansara Damai, Kuala Lumpur dan pelajar beberapa sekolah menengah daerah itu menyertai kem tersebut selama empat hari sempena Hari Kelawar Sedunia.
Mereka dibawa meneroka Hutan Simpan Krau bagi menjejaki dan memahami kehidupan kelawar dari dekat.
Sementara itu, beberapa pelajar yang ditemui berkata, kem tersebut sangat berguna apabila mereka didedahkan mengenai peranan dan habitat sebenar kelawar dalam ekosistem dan proses biodiversiti negara.
Pelajar SMK Damansara Damai, Farah Diana Mohd. Fauzi, 16, berkata, usaha penyelidikan oleh Perhilitan dapat menambah maklumat mereka mengenai kelawar.
‘‘Kem ini dapat mendedahkan kami mengenai kepentingan untuk membantu usaha memulihara spesies mamalia ini yang mempunyai peranan yang penting dalam proses ekosistem.
‘‘Daripada penerangan yang disampaikan dapat difahami bahawa kelawar mempunyai peranan tersendiri sebagai habitat terhadap flora dan fauna perlu terus dikekalkan dalam biodiversiti hutan Simpan Krau,” katanya.
Seorang lagi pelajar SMK Lanchang, Chow Yen Kien, 16, memberitahu, usaha Perhilitan mengadakan kem tersebut dapat memberi banyak pengetahuan mengenai kelawar.
Katanya, sebelum ini, dia juga mempunyai persepsi negatif dan takut terhadap kelawar.
Pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Hua Lian, Noraeni Iskandar, 16, berkata, kelawar juga merupakan sumber biologi yang berpotensi dan turut menyumbang kepada bidang perubatan, makanan, ekopelancongan, pendidikan dan sumber genetik.
‘‘Seperti lebah dan burung, kelawar yang memakan buah dan manisan adalah sama penting dalam memelihara ekosistem seperti penyebaran biji serta pendebungaan untuk kepentingan generasi hutan dan hidupan liar di masa depan,” katanya.

No comments:

Post a Comment