Thursday, November 24, 2011

artis menjolok mata

Pengunjung uptown kecewa

Saudara pengarang,
Saya mengunjungi Uptown Jerantut bersama keluarga kerana difahamkan kawasan tersebut meriah waktu malam dengan pelbagai jenis jualan.

Memang tidak dinafikan bahawa pembukaan perniagaan waktu malam sedikit sebanyak menceriakan bandar Jerantut, kerana orang ramai khususnya penduduk sekitar dapat menghabiskan malam hujung minggu bersama keluarga di situ.

Namun, apa yang menyedihkan, suasana malam di situ agak terganggu apabila aksi penyanyi tempatan yang kurang terkenal menghiburkan pengunjung.

Saya difahamkan, artis tersebut terkenal kerana sering membuat persembahan terutama pada ekspo jualan di Jerantut.

Bagi saya, kehadiran penyanyi itu menghiburkan pengunjung tidak salah, namun cara pemakaian dan lenggok tariannya tidak sesuai kerana persembahan tersebut diadakan di khalayak ramai, termasuk kanak-kanak.

Pada malam tersebut, dia mengenakan pakaian ketat dan seksi mendedahkan aurat sehingga paras paha yang mengundang rasa tidak puas hati sesetengah pihak.

Pada masa yang sama, ia turut menjemput beberapa kanak-kanak untuk sama-sama menyanyi dengan tarian gelek di atas pentas dan perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana tidak sesuai.

Saya rasa pihak penganjur sepatutnya mengenakan syarat yang perlu dipatuhi untuk memanggil seseorang artis atau penyanyi, terutama daripada aspek pemakaian dan gaya tarian kerana ramai orang menyaksikan persembahannya.

Saya berharap, pihak penganjur memandang serius perkara ini supaya tidak berulang dan memberi kesan negatif kepada masyarakat khususnya penduduk luar bandar.

WARGA KESAL,

Jerantut

No comments:

Post a Comment