Friday, November 4, 2011

jalan rosak teruk

Segera baiki jalan kampung


SEORANG penduduk menunjukkan jalan kampung yang kini rosak dan berlopak di Kampung Petola, baru-baru ini.


SAYA ingin menarik perhatian pihak pentadbiran daerah Lipis dan wakil rakyat supaya segera membaiki jalan kampung dengan menurap tar di Kampung Petola, Kampung Dada Kering, Kampung Bukit dan kawasan berdekatan.
Aduan saya bersebab kerana jalan sejauh dua kilometer yang diturap tar pada 1998 kini sudah rosak dan berlopak digenangi air.
Ia juga menyukarkan murid di kawasan sekolah berdekatan kerana setiap kali musim hujan, jalan berlopak dan lumpur menyebabkan pakaian seragam mereka kotor terutama jika membonceng motosikal.
Untuk makluman pihak berwajib, sudah beberapa kali Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) Petola dan Dada Kering membuat aduan dan memohon supaya jalan itu dinaik taraf, tetapi sehingga kini masih belum ada jawapan.
Penduduk di sini berasa hairan apabila sejak digunakan 13 tahun lalu, jalan ini belum diturap sedangkan kemudahan asas yang sama di kampung lain iaitu di kawasan Padang Tengku sudah menikmati keselesaan perhubungan berulang alik ke bandar Kuala Lipis.
Jalan yang rosak ini merupakan perhubungan keluar ke Jalan Lipis - Merapoh dan bandar Kuala Lipis tanpa ada laluan alternatif lain untuk digunakan oleh penduduk di sini.
Kesulitan yang sama juga dialami oleh penduduk khususnya dalam kalangan warga emas yang kerap berulang alik ke masjid dengan berjalan kaki dan menunggang motosikal, manakala ahli kariah menunaikan solat Jumaat terpaksa mengharungi laluan berlopak pada musim hujan sejak bulan lepas.
Kami juga tertanya-tanya mengapa jalan cuma dua kilometer itu masih terlepas pandang untuk dibaiki kerana ia pasti hanya memerlukan peruntukan kecil berbanding kos projek jalan raya lain.
Melalui Rakan Pahang berasaskan situasi 'menang-menang', kerajaan negeri perlu prihatin dengan kebajikan penduduk di pedalaman di sini sambil mengharapkan mereka turun padang supaya segala masalah pembangunan di tempat kami boleh dirungkaikan secara telus dan saksama.
Apa yang penting baiki dahulu jalan kampung yang rosak supaya penduduk di sini lebih selesa bergerak dan memudahkan kenderaan keluar masuk ke desa terpencil di sini.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment