Friday, November 18, 2011

anak pemandu bas

Kejayaan UPSR dorong bela nasib keluarga

KUANTAN 18 Nov. - Kejayaan memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011 yang diumumkan semalam diharap menjadi pendorong dan landasan terbaik bagi anak seorang pemandu bas di sini untuk membela nasib keluarganya.

Nur Ain Najwa Che Ngah, 12, dari Tanjung Api di sini menyimpan cita-cita untuk menjadi arkitek agar dapat membalas jasa ibu dan bapa selama ini.

Menurut murid Sekolah Kebangsaan (SK) Teruntum itu, selama ini dia terpaksa mengulang kaji pelajaran di samping membantu ibunya menjaga adik yang menghadapi masalah perut tidak berotot iaitu prune belly syndrome.

"Sebelum menduduki peperiksaan, bapa, Che Ngah Abdullah, 48, terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan pergerakannya terbatas.

"Dalam kepayahan itu, bapa tetap berusaha menghantar saya ke sekolah dan semua ini menguatkan semangat untuk terus belajar dengan bersungguh-sungguh," katanya di sini semalam.

SK Teruntum merupakan sekolah harian terbaik di negeri ini dengan 54 calon mendapat 5A dan jumlah tersebut adalah peningkatan sebanyak 34 peratus berbanding tahun lalu.

Sementara itu rakannya, Nur Sabrina Aliya Asman, 12, yang juga memperoleh 5A menyifatkan kejayaan tersebut adalah hasil dorongan ibu bapanya.

"Mereka berdua (Noorlili Mohd. Amin, 42, dan Asman Amirullah, 48,) sering membantu saya membahagikan masa antara pelajaran dan sukan.

"Saya akan pastikan memberi sepenuh tumpuan di dalam kelas dan mengulang kaji pelajaran apabila menjelang peperiksaan," katanya yang merupakan pemain catur negara.

No comments:

Post a Comment