Tuesday, November 15, 2011

cemerlang boleh pakai jubah

UiTM beri peluang pelajar lalui pengalaman majlis konvokesyen


DZULKIFLI Abd. Wahab (depan) pada Hari Graduasi sekolah berkenaan di Maran, baru-baru ini.


MARAN 15 Nov. – Pengalaman memakai jubah seperti dalam istiadat penganugerahan ijazah hanya dilalui oleh mereka yang bergelar graduan setelah menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT).
Namun, berlainan dengan 144 pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka Pusat di sini yang berpeluang melalui saat-saat istimewa itu pada Hari Graduasi sekolah berkenaan, baru-baru ini.
Bertempat di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Khazanah Alam, Bandar Tun Abdul Razak Jengka di sini, pelajar-pelajar berkenaan diraikan oleh graduan universiti pada hari bersejarah mereka.
Pada majlis itu, Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abd. Wahab diangkat sebagai Canselor yang bertindak menyampaikan sijil khas kecemerlangan kepada pelajar terlibat yang terdiri daripada 91 ‘graduan’ Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 53 ‘graduan’ Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Hadir sama, Rektor UiTM Kampus Khazanah Alam, Prof. Madya Datuk Dr. Hilmi Ab. Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Wan Salman Wan Ismail dan Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Maran, Mohd. Rodzik Abdul Razak.
Pengetua SMK Jengka Pusat, Hafidzah Jono berkata, pemakaian jubah seperti istiadat penganugerahan ijazah di universiti diharap menjadi titik permulaan untuk kejayaan yang lebih cemerlang buat pelajar terlibat.
‘‘SMK Jengka Pusat berjaya menduduki tempat pertama di daerah Maran dalam peperiksaan percubaan SPM dan STPM, baru-baru ini.
‘‘Dengan usaha gigih graduan, SMK Jengka Pusat akan melakar sejarah berterusan sebagai sekolah bestari Felda yang gemilang dan terbilang,’’ katanya pada majlis itu.

No comments:

Post a Comment