Friday, November 4, 2011

mohon jalan

Menanti jalan raya persekutuan siap


KEADAAN jalan persekutuan dari simpang Jengka Lapan ke Sungai Tekam yang berlubang dan rosak teruk mengundang bahaya dan rasa tidak selesa dalam kalangan pemandu yang menggunakan laluan berkenaan.


SAYA merupakan antara peneroka Felda yang kerap menggunakan jalan persekutuan antara Maran ke Jerantut dari tempat tinggal kami, iaitu Felda Kota Gelanggi 2 sejauh 10 kilometer ke Simpang Jengka 8.
Laluan berkenaan amat penting kerana satu-satunya jalan yang digunakan oleh penduduk Felda Sungai Tekam, Felda Tekam Utara, Pusat Perkhidmatan Pertanian Tun Razak (PPPTR) Tekam dan Gugusan Felda Kota Gelanggi serta Gugusan Felda Lepar berurusan ke bandar Jerantut melalui Simpang Jengka 8.
Apa yang menimbulkan tanda tanya, iaitu status projek kemudahan asas berkenaan bermula dari simpang Jengka 8 ke Pusat Perkhidmatan Pertanian Tun Razak (PPPTR) Tekam yang masih dalam pembinaan kini berkeadaan teruk.
Turut menghairankan, kedudukan jajaran laluan masih berlopak dan sistem perparitan tidak sempurna sehingga berlaku takungan air setiap kali hujan lebat.
Kerosakan yang berlaku juga menyebabkan menyukarkan kenderaan berselisih, manakala pemandu terpaksa mencari ruang supaya tidak tersangkut atau terjatuh di dalam lopak yang dalam.
Lebih dahsyat lagi kesan lubang dan lopak yang dalam mengundang kerosakan kenderaan sehingga ada pemandu kesal apabila tangki minyak hitam kereta mereka bocor serta kerosakan pada rim tayar.
Dipercayai pihak kontraktor berkenaan telah membina laluan alternatif, iaitu jalan tanah merah di kiri kanan untuk mengelakkan jalan berlubang dan jajaran yang teruk sehingga menimbulkan rungutan kepada pemandu.
Laluan tanah merah pada jangkaan pihak tertentu boleh memberi sedikit keselesaan, tetapi bertambah sukar akibat berlumpur apabila musim hujan.
Saya difahamkan projek berkenaan sudah beberapa kali terbengkalai dan kini kerja disambung oleh kontraktor baru, tetapi senario yang sama seperti empat atau lima tahun lalu masih menghantui penduduk kawasan ini.
Soalannya, bilakah projek itu dapat disiapkan sedangkan pihak kerajaan negeri sering menguar-uarkan jalan persekutuan dari Maran ke Jerantut akan dinaik taraf.
Melalui Rakan Pahang ini, saya memohon wakil rakyat kawasan ini lebih proaktif menangani setiap projek kemudahan asas khususnya jalan raya kawasan ini untuk memacu pembangunan ekonomi dan sosial penduduk sekitar Sungai Tekam dan Gugusan Felda Kota Gelanggi.
Justeru, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) diharap dapat membaiki kerosakan berkenaan untuk menghindarkan berlakunya kemalangan jalan raya akibat kecuaian yang tidak sepatutnya berlaku.

No comments:

Post a Comment