Monday, November 21, 2011

gempar moto

Mekap motor sampai RM12,000
Teks dan gambar oleh Mohd Rafi Mamat
rencana@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PERBELANJAAN sehing�ga RM12,000 bukan penghalang kepada peminat motosikal untuk melakukan pengubahsuaian atau ‘mekap’ semata-mata bagi memuaskan hati selain menarik perhatian.

Ada yang berbuat demikian untuk meraih kemenangan setiap kali menyertai pertandingan.

Ini dibuktikan apabila lebih 20 peserta pertandingan motosikal tercantik dalam beberapa kategori sempena Karnival Gempaq Motor Pahang di Bandar Indera Mahkota, Kuantan, baru-baru ini.

Peserta, Abu Daut Razali, 26, berkata dia membelanjakan lebih RM12,000 untuk menghias dan mengubah suai beberapa bahagian skuter Yamaha Egonya itu.


Menurutnya, selain memberi tumpuan kepada warna yang menarik dan beberapa kelengkapan lain, sistem audio diberi kelebihan hingga mampu menarik perhatian juri setiap kali pertandingan.


Katanya, kerana minat dia sanggup mengeluarkan perbelanjaan besar yang tidak mungkin dilakukan orang lain.

“Saya mengubah suai secara berperingkat dengan bantuan rakan-rakan yang meminati aktiviti ini dan bagi menjimatkan kos saya turut menggunakan barangan terpakai.

“Hanya mereka yang berminat mampu terbabit dengan aktiviti seperti ini yang memerlukan perbelanjaan besar dan ketekunan,” katanya yang berasal dari Jerantut, Pahang itu.

Abu Daut yang berniaga burger di bandar Kuantan berkata, bagi mengimbangi bebanan sistem audio, dia terpaksa mengubah suai tayar motosikalnya.

Katanya, tayar motosikal Yamaha Ego yang sebelum ini bersaiz kecil ditukar kepada lebih besar menggunakan tayar kereta Perodua Kancil.

“Walaupun motosikal saya tidak mampu bergerak pantas namun saya berpuas hati dapat menghasilkan kenderaan unik hingga mampu meraih kemenangan pada setiap pertandingan.

“Sepanjang tahun ini sudah 15 pertandingan peringkat daerah, negeri dan kebangsaan disertai kebanyakan berakhir dengan kejayaan membanggakan,” katanya.

Bagi Mohd Mahadi Abd Manan, 37 dari Dungun, Terengganu, sebanyak RM10,000 dibelanjakan untuk mengubah suai motosikal jenis Yamaha LC sejak terbabit dalam pertandingan.

Menurutnya, wang bukan alasan untuk dia mengubah suai motosikal menjadi lebih menarik dan menakjubkan setiap kali menyertai pertandingan.

“Saya lebih banyak memberi tumpuan pada warna dan semburan angin pada beberapa bahagian motosikal, tema diguna berinspirasikan filem adiwira Spiderman yang diminati kanak-kanak dan dewasa.

“Gabungan hijau, merah dan hitam mampu menarik perhatian setiap mata memandang walaupun motosikal jenis ini banyak berada di jalan raya,” katanya yang bekerja di loji Petronas Dungun.

Beliau berkata, sepanjang tahun ini sebanyak lima pertandingan tempatan disertai, tiga kemenangan berpihak kepadanya sekali gus meningkatkan semangat untuk terus terbabit dalam aktiviti berkenaan.

Mohd Mahadi berkata, aktiviti mengubah suai motosikal lebih ‘meriah’ dilakukan secara berkumpulan, kerana masing-masing mempunyai idea yang mampu menghasilkan rekaan lebih menarik dan mantap.

Bagi menjimatkan kos selain menggunakan komponen terpakai yang dicat baru, kita juga saling bertukar antara satu sama lain.

“Hobi menghias motosikal kini semakin diminati golongan remaja dapat mengelak mereka dari terbabit dengan aktiviti tidak sihat seperti lumba haram dan melepak.

“Aktiviti berkenaan mempunyai nilainya tersendiri yang hanya dapat diselami insan tertentu saja,” katanya.

Peminat aktiviti berkenaan, Mohd Imran Izad Abdullah, 25 berkata, tidak semua remaja berminat dengan aktiviti menghias motosikal yang memerlukan perbelanjaan besar.

“Peminat aktiviti ini terdiri dari insan berjiwa lembut dan memiliki pelbagai idea yang mampu diserapkan pada motosikal walaupun tidak pernah terlintas di fikiran sebelum ini.

“Kerajaan perlu terus memberi sokongan dan galakan dengan cara menganjurkan lebih banyak pertandingan,” katanya.

No comments:

Post a Comment