Monday, July 2, 2012

zoo baru

ARKIB : 02/07/2012

Zoo baru bakal ganti Zoo Negara

LioW Tiong Lai (dua dari kiri) dan Johari Harun (tiga dari kiri) melawat lokasi pembinaan Dataran Janda Baik di Bentong, kelmarin.
BENTONG 1 Julai - Persekitaran hijau dan alam semula jadi yang masih terpelihara di Janda Baik di sini menjadi pilihan kerajaan Persekutuan untuk membina zoo baru bagi menggantikan Zoo Negara di Kuala Lumpur.
Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Zoo Negara kini didapati tidak lagi sesuai dengan pembangunan pesat yang berlaku di sekelilingnya menyebabkan hidupan liar di tempat tersebut terancam.
Bagaimanapun katanya, kerajaan masih belum memutuskan lagi sama ada akan dilaksanakan atau tidak, memandangkan ia masih dalam peringkat perancangan.
''Perancangan untuk memindahkan Zoo Negara ke kawasan berhampiran Janda Baik kerana kedudukannya begitu hampir dengan Kuala Lumpur dan jika dilaksanakan kelak, kemungkinan besar ia melibatkan kawasan yang jauh dari kediaman penduduk.
"Jika diperhatikan kawasan persekitaran yang menghijau di situ amat sesuai untuk dijadikan tapak zoo bagi menempatkan pelbagai jenis haiwan. Namun begitu ia masih memerlukan perancangan teliti bagi memastikan tidak menimbulkan masalah kepada penduduk," katanya yang juga Menteri Kesihatan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kawasan tapak Dataran Janda di sini semalam.
Turut hadir ialah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bentong, Datuk Johari Harun.
Tiong Lai berkata, sekiranya perancangan pemindahan tersebut diluluskan ke kawasan ini, sesi taklimat khas akan diadakan kepada penduduk.
Jelasnya, ia penting bagi memastikan penduduk mengetahui dengan jelas perkara itu sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya.
"Pemindahan Zoo Negara ke kawasan ini dilihat dapat menjadikan Janda Baik sebagai destinasi lebih terkenal dengan kepelbagaian produk pelancongan.
"Apa yang diharapkan ialah penduduk di sini dapat berganding bahu mengekalkan keindahan alam semulajadi kampung ini yang sememangnya menjadi salah satu tarikan kepada pengunjung sama ada dari dalam atau luar negara," katanya.

No comments:

Post a Comment