Sunday, July 15, 2012

komplek sukan

Kompleks sukan dipenuhi najis
NORHAFIZAN ZULKIFLI
16 Julai 2012
Kompleks sukan dipenuhi najis
Najis binatang yang bertaburan di salah satu pintu masuk ke padang.
BANDAR TUN RAZAK –Akhir tahun lalu, Sinar Harian pernah melaporkan tentang Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara (MSN) di bandar ini yang tidak diselenggarakan dengan sempurna.

Berdasarkan maklumat pengunjung, walaupun berita tersebut telah disiarkan, namun sehingga kini masih belum ada tindakan sewajarnya diambil oleh pihak terbabit.

Najis-najis binatang ternakan seperti ayam dan ayam Belanda ini sekali gus mencacatkan pemandangan kompleks sukan terbabit.

Najis terbabit dikatakan bertaburan di sekitar kawasan kompleks sukan ini terutama di kawasan di bahagian tangga dan jalan masuk ke tempat duduk penonton.

Difahamkan, kehadiran binatang ternakan terbabit menimbulkan tanda tanya kepada pengunjung yang datang ke kompleks sukan ini.

Tinjauan Sinar Harian mendapati tiada perubahan yang dibuat. Dapat dihidu bau najis yang busuk bertaburan tidak di cuci.

Menurut seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Ibrahim, ia pernah di cuci, namun jarang-jarang sekali.

“Jarang juga saya lihat najis tersebut dicuci. Kadang-kala bila dah banyak bertaburan dan apabila sudah terlalu teruk barulah ianya di cuci,” katanya.

Difahamkan juga, kompleks sukan terbabit tidak mempunyai tukang cuci khas, sebaliknya yang melakukan kerja-kerja pencucian ialah kakitangan yang bertugas di situ.


Tandas juga tidak diselenggarakan

Selain keadaan najis binatang ternakan yang bertaburan, dapat dilihat tanda awam yang kotor selain beberapa bilik yang dibiarkan kosong tidak digunakan dan padang bola sepak yang dilihat tidak mempunyai garisan putih serta tiang gol yang tidak berjaring.

Menurut Ibrahim, rumput di padang tersebut juga hanya di potong sebulan sekali, malah kerja-kerja pemotongan tersebut dilakukan di sebelah malam.

“Agak memalukan jika pengunjung dari luar datang melakukan aktiviti sukan di sini terutama pelajar-pelajar sekolah.

“Pernah sekali pelajar sekolah datang melakukan aktiviti sukan di sini, sebahagian dari pelajar sekolah terbabit muntah-muntah tidak tahan dengan kekotoran di kompleks sukan ini,” katanya.


Harta awam yang perlu dijaga

Ketua Umno Cawangan Desa Jaya, Ahmad Sabrey Idris, berkata, hampir setiap pagi beliau berjoging di kompleks sukan itu.

Beliau memberitahu, keadaan tidak terurus kompleks tersebut telah terjadi sejak beberapa tahun dahulu.

“Saya sering datang berjoging di sini ketika pagi, dan saya lihat keadaan di sini sangat daif dengan najis ayam dan ayam Belanda bertaburan dan tidak di cuci.

Saya rasa, semua ini terjadi mungkin disebabkan pihak pengurusan tidak menjalankan tanggungjawab mereka.

“Saya tidak bermaksud memarahi orang yang bertanggungjawab, tetapi mereka harus sedar, ini merupakan harta rakyat dan kemudahan untuk rakyat. Bukan tempat untuk membela ayam dan ayam Belanda,” katanya.

Menurutnya, kompleks tersebut sering digunakan oleh pelajar sekolah dari luar dan dalam daerah dan dikatakan disewa pada harga RM80 sehari untuk digunakan oleh orang awam yang mahu menggunakan perkhidmatan padang di situ.

Menurut satu sumber, kompleks sukan itu akan diserahkan kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Jengka untuk diambil alih pengurusannya.

Sumber tersebut berkata, ini mungkin sesuatu yang agak mengecewakan bagi pengguna kompleks sukan tersebut kerana kemungkinan pengambilalihan tersebut lebih menyukarkan penduduk sekitar memanfaatkan kemudahan di kompleks sukan tersebut yang dikatakan berpotensi untuk dibangunkan.

No comments:

Post a Comment