Sunday, July 15, 2012

tiang kena kebas

Tiang lesap dikebas pencuri
Wartawan Sinar Harian
16 Julai 2012
Tiang lesap dikebas pencuri
Mohd Zolfakar menunjukkan kebanyakan pagar yang roboh apabila tiang besi dikebas pencuri.
KUALA ROMPIN – Pencuri besi buruk bukan saja menjadikan motosikal sebagai sasaran, malah tiang besi pagar di Pusara Daerah Rompin turut menjadi mangsa untuk mendapatkan wang dengan cara haram.

Kegiatan itu terbongkar sejak lebih sebulan lalu di mana kejadian tersebut mengakibatkan pagar mengelilingi kubur di situ kebanyakannya roboh dan tidak boleh digunakan lagi.

Bekas Penyelaras Tanah Perkuburan Islam Rompin, Mohd Zolfakar Taib, 42, berkata, pusara terbiar itu dikenali sebagai Tanah Perkuburan Islam Rompin sebelum dinaik taraf sejak lebih setahun lalu.

Menurutnya, perbuatan pihak yang sanggup mencuri tiang besi itu amat dikesali, apatah lagi perbuatan terkutuk tersebut dilakukan di tanah perkuburan.

“Sepatutnya mereka insaf setiap kali memijak kaki ke tanah perkuburan. Namun sebaliknya berlaku hingga mereka tergamak mencuri,” katanya.

Mohd Zolfakar berkata, terdapat sekurang-kurangnya lima tiang lesap dikebas pihak tidak bertanggungjawab yang dipercayai mempunyai nilai jika dijual kepada ‘tauke’ besi buruk.

Menurutnya, dia juga tidak menolak kemungkinan kegiatan itu dilakukan penagih dadah terdesak hingga sanggup mencuri tiang pagar tersebut.

“Bagaimanapun, kami minta polis menyiasat perkara ini untuk memastikan dalang kejadian itu dapat dibanteras hingga ke peringkat akar umbi,” katanya.

Katanya, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) juga disaran mencari kaedah terbaik untuk menangani perkara itu.

Selain itu katanya, pusara tersebut memerlukan penjagaan rapi dari segi kebersihan memandangkan statusnya sebagai pusara perkuburan.

No comments:

Post a Comment