Wednesday, July 11, 2012

siswa bersama rakyat

ARKIB : 11/07/2012

15 penuntut IPTA sertai program Amanah Ikhtiar

AMIHAMZAH Ahmad (tengah) bersama para penuntut IPTA dan Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia pada majlis penyerahan anak angkat di Kuala Lipis, Lipis baru-baru ini.
KUALA LIPIS 10 Julai - Seramai 15 penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) negeri ini menyertai Program Anak Angkat Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Lipis, di sini baru-baru ini.
Mereka merupakan para penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kampus Pekan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang dan Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas), ditempatkan bersama 15 keluarga angkat yang juga merupakan peserta Sahabat AIM Lipis.
Penempatan penuntut berkenaan dalam kalangan ibu tunggal yang juga pengusaha di bawah Program Komuniti Usahawan Wanita AIM diadakan selama sebulan bertujuan memberi pendedahan kepada mereka tentang cabaran golongan itu mengharungi kehidupan.
Mereka mengikut keluarga angkat masing-masing yang tinggal di Kampung Padang Tengku, Kampung Mela, Kampung Tanjong Buloh, Kampung Kuala Medang, Kampung Bukit Betong, Kampung Benta dan Kampung Merapoh.
Satu majlis penyerahan penuntut berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga AIM, Datuk Amihamzah Ahmad di Dewan Jubli Sultan Haji Ahmad Shah bandar ini.
Hadir sama Pengarah Pusat Keusahawanan UMP, Dr. Omar Jamaludin; Pengarah Pinjaman dan Operasi AIM, Nor Fazidah Kadri; Penolong Pengarah Unit Pembangunan Usahawan AIM, Che Mahdi Idris dan Pengurus AIM Pahang, Roslan Pakon.
Menurut Omar, program kolaborasi antara IPTA dengan AIM bertujuan memberi peluang penuntut menjalani latihan di bidang keusahawanan berasaskan pengajian mereka dan boleh berdikari selepas menamatkan pengajian nanti.
"Program itu membolehkan penuntut mendalami susur hidup, kesusahan dan kepayahan yang pernah dilalui oleh Sahabat AIM yang terbabit dengan usahawan sehingga meniti tangga kejayaan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Jelasnya, kegiatan itu merupakan satu inisiatif penting dalam memperkasa budaya keusahawanan, sekali gus membuka mata dan minda penuntut yang terlibat untuk menceburi bidang perniagaan.
Dalam pada itu, Pengerusi Lembaga AIM, Datuk Amihamzah Ahmad berkata, program itu antara platform mencanai pengetahuan dan pengalaman penuntut bersama Sahabat AIM berasaskan penggabungan konsep teori serta praktikal.
"Mereka berpeluang mencurahkan idea hasil teori dan pembelajaran yang diperoleh dalam bidang pengurusan, kewangan, pemasaran serta keusahawanan kepada ibu angkat masing-masing," ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, Sahabat AIM yang terbabit dengan usahawan boleh memanfaatkan pengetahuan yang dimiliki penuntut itu untuk memantapkan lagi perniagaan masing-masing.

No comments:

Post a Comment