Monday, July 2, 2012

kemajuan di sungai lembing

Limpahan pembangunan di Sungai Lembing buat rakyat

KUANTAN 2 Julai - Pembangunan pesat di sekitar Sungai Lembing di sini, membuktikan kerajaan tidak memilih kawasan dalam memastikan rakyat menikmati kehidupan selesa tanpa mengira kaum dan agama.

Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail berkata, beliau telah memohon beberapa peruntukan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya pembangunan di situ dapat dilaksanakan.

Menurutnya, janji-janji yang dibuat oleh wakil rakyat terdahulu dan sekarang menyaksikan Sungai Lembing kini menjadi tumpuan sama ada pelancong tempatan dan antarabangsa.

"Apa yang dijanjikan oleh kerajaan kepada masyarakat Sungai Lembing kita tunaikan seiring dengan slogan Janji Ditepati seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri," katanya ketika berucap di sini semalam.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra dan Sambutan Ulang Tahun Persatuan Hokka di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sungai Lembing, di sini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Sohaimi Mohamed Shah.

Abdul Manan berkata, antara perkara dilaksanakan ialah pembinaan tiga jambatan merentasi Sungai Klau dengan Sungai Lembing.

Jelasnya, projek tersebut yang dilancarkan pada awal tahun ini dijangka siap selewat-lewatnya penghujung tahun ini.

Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat di situ supaya menyumbang bakti dalam membangunkan lagi pekan Sungai Lembing.

Katanya, sejak diisytiharkan sebagai Bandar Warisan, pekan tersebut menerima kunjungan pelancong dalam dan luar negara, sekali gus menjana ekonomi di situ.

"Dengan pelbagai tempat menarik di situ, saya yakin Sungai Lembing akan menjadi salah satu destinasi pelancongan di negara ini," katanya.

No comments:

Post a Comment