Wednesday, July 25, 2012

polisas

ARKIB : 25/07/2012

1,263 pelajar daftar di Polisas

PARA penuntut baru menyanyikan lagu Polisas pada Minggu Suai Kenal di Dewan Makmur institut itu, baru-baru ini.
KUANTAN 24 Julai - Seramai 1,263 penuntut baru mendaftar bagi sesi pengajian di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) di sini, bagi sesi kemasukan Jun tahun ini yang merupakan pengambilan pelajar terbesar di pusat pengajian tersebut kali ini.
Proses kemasukan pelajar Polisas pada awal Jun lalu terpaksa ditangguhkan berbanding politeknik lain di seluruh negara berikutan memberi laluan kepada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 yang menjadikan Polisas sebagai gelanggang acara memanah.
Sehubungan itu, majlis Minggu Suai Kenal (MSK) dianjurkan selama tiga hari bermula 20 Julai lalu yang dirasmikan oleh Pengarah Polisas, Datuk Abu Bakar Ahmad baru-baru ini.
Menurut Pegawai Perhubungan Awamnya, Norazura Mohd. Ali, program MSK itu bertujuan memberi pendedahan kepada penuntut baru tentang sistem pengurusan di politeknik selain membiasakan mereka dengan persekitaran kampus sepanjang pengajian.
Di samping itu, tambahnya, ia juga merupakan platform bagi menyampaikan segala maklumat tentang pengajian, peraturan dan tatacara pembelajaran di politeknik serta mendedahkan pelajar cara pengurusan masa secara sistematik.
"Selain itu, pelajar juga akan didedahkan dengan pelbagai maklumat berkaitan pembelajaran seperti taklimat kebajikan dan pinjaman pendidikan, disiplin, peperiksaan, perpustakaan, keusahawanan, sukan dan kokurikulum serta kaunseling," katanya.
Terdahulu, Abu Bakar dalam ucapannya berkata, penuntut baru perlu berganding bahu menjayakan hala tuju transformasi politeknik yang telah dicerna sebelum ini.
"Pelan Transformasi Politeknik (PTP) turut menyasarkan tiga perkara utama yang perlu diberi perhatian iaitu 50 peratus pelajar lepasan sekolah memilih pusat pengajian ini sebagai pilihan pertama bagi melanjutkan pelajaran.
"Sebanyak 85 peratus graduan pula mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian serta melonjakkan politeknik sebagai institusi peneraju dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional," katanya.
Pada masa sama, beliau berharap program MSK itu berjaya memberikan sedikit gambaran dan garis panduan kepada para pelajar dalam menyusuri kehidupan baru sebagai warga Polisas.

No comments:

Post a Comment