Wednesday, July 11, 2012

kerajaan tolong peneroka berzakat

ARKIB : 11/07/2012

Pahang perkenal potongan zakat buat peneroka

TENGKU Abdullah Sultan Ahmad Shah (kanan) menerima replika cek zakat daripada wakil Tenaga Nasional Bhd. pada Majlis Pelancaran Potongan Zakat Al-Barokah Felda di Hotel MS Garden, kelmarin.
KUANTAN 10 Julai - Pahang menjadi negeri pertama yang memperkenalkan program khusus bagi mengutip zakat dalam kalangan peneroka Felda dengan cara pemotongan hasil pendapatan yang akan diuruskan oleh pengurus rancangan.
Program yang dikenali sebagai Al-Barokah Felda itu dilancarkan oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.
Tengku Abdullah bertitah, program berkenaan merupakan inisiatif terbaru pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) untuk meningkatkan lagi jumlah kutipan zakat di negeri itu.
"Walaupun hanya enam peratus daripada 43,123 peneroka di Pahang yang membayar zakat, namun saya yakin selepas pelancaran program ini jumlah berkenaan akan meningkat.
"Kalau separuh daripada peneroka membayar zakat, jumlah yang akan akan dikutip adalah sebanyak RM8 juta setahun. Kalau jumlah itu berjaya dikutip, ia adalah golongan terbesar di negeri ini yang membayar zakat," titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Potongan Zakat Al-Barokah Felda dan Majlis Ramah Mesra Bersama Asnaf Zakat, di sini semalam.
Turut berangkat Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar; Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Timbalan Yang Dipertua MUIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan.
Titah baginda, para peneroka boleh membuat potongan gaji atau hasil pendapatan untuk membayar zakat yang akan diuruskan oleh pengurus rancangan.
"Sebanyak 18 rancangan Felda di seluruh negeri telah dipilih untuk memulakan program perintis ini. Saya yakin dengan adanya pemotongan melalui gaji ini akan menambahkan lagi jumlah peneroka yang membayar zakat," titah baginda.
Dalam pada itu baginda yang juga Yang Dipertua MUIP bertitah, setakat ini, pihaknya masih belum mahu menggunakan tindakan undang-undang terhadap peneroka yang tidak membayar zakat.
"Buat masa ini pihak MUIP akan bagi kesedaran dulu kepada peneroka mengenai kewajipan membayar zakat pendapatan," titahnya.

No comments:

Post a Comment