Dua keluarga OKU kongsi tempat tinggal
Saharuddin (kiri), Shikh (tiga, kiri), bersama peserta PLKN melihat keadaan rumah yang didiami keluarga Zulkifli (tengah) dan ahli keluarga.
KUANTAN – Dua keluarga orang kurang upaya (OKU) di Kampung Chegal Lempong, di sini, terpaksa tinggal berhimpit dalam sebuah rumah uzur dan menjalani kehidupan dalam keadaan serba kekurangan sejak dua tahun lalu.

Akibat tidak mampu memiliki rumah sendiri, Zulkifli Dagang, 40, yang tempang akibat diserang penyakit gout terpaksa menumpang di rumah keluarga abang iparnya, Nordin Deraman, 53.

Nordin berkata, walaupun rumahnya kecil, uzur dan hanya mempunyai dua bilik, dia tetap membantu Zulkifli kerana belas ihsan.

Menurutnya, kehidupan mereka hanya bergantung kepada bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat yang tidak seberapa.

“Rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) ini sudah berusia lebih 20 tahun dan kini sudah uzur.

“Saya dengan isteri dan tiga anak, manakala Zulkifli bersama isteri dan seorang anak berhimpit tinggal di rumah yang hanya mempunyai dia bilik ini.

“Saya tidak bekerja kerana masalah kesihatan dan keadaan diri yang tidak sempurna serta hanya mengharapkan menerima bantuan JKM sebanyak RM 150 sebulan untuk menyara kehidupan.

“Kalau ikutkan memang tidak mencukupi tetapi kami terpaksa berjimat cermat dan sepanjang 20 tahun tinggal di sini bekalan elektrik serta air hanya diambil melalui saluran rumah
saudara berhampiran,” katanya kepada Sinar Harian sempena program gotong-royong penduduk bersama peserta Peserta Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Cherating, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Bahagian Umno Indera Mahkota, Datuk Saharuddin Shamsuddin dan Ketua Kampung Chegal Lempong, Shikh Zahari Shikh Sulaiman.

Manakala, Zulkifli berkata, sebelum menumpang di rumah abang iparnya, keadaan hidupnya sekeluarga tidak menentu.

“Sebelum ini kehidupan kami terumbang-ambing dan sering berpindah-randah sehingga Nordin membenarkan kami tinggal bersamanya.

“Saya sudah lama menghidap penyakit gout dan selepas berumah tangga keadaan menjadi lebih teruk sehingga tidak boleh bekerja serta kehidupan kami hanya bergantung kepada bantuan JKM sebanyak RM90 sebulan.

“Saya amat berharap untuk memiliki rumah sendiri dan bersyukur sekiranya bantuan JKM dapat dinaikkan,” katanya.

Sementara itu, Shikh Zahari berkata, pihaknya sedang berusaha untuk mendapatkan sebuah rumah PPRT untuk Zulkifli.

“Kita tidak pinggirkan keluarga ini dan kelulusan rumah PPRT untuk Zulkifli kini dalam proses, manakala kehadiran pelatih PLKN ini adalah untuk membantu menjalankan kerja baik-pulih rumah Nordin,” katanya.

Saharuddin berkata, pihaknya sentiasa memberi perhatian kepada golongan memerlukan dan aktiviti amal ini memberi manfaat untuk semua pihak.