Monday, July 2, 2012

jangan tinggal duit dalam kereta

ARKIB : 01/07/2012

Pencuri larikan RM20,000

INSHAH Ab. Rahman menunjukkan cermin keretanya yang dipecahkan oleh pencuri sehingga menyebabkan beg berisi wang dan barang kemas dilarikan di Jalan Kuantan-Pekan dekat Peramu, kelmarin.
KUANTAN 30 Jun - Seorang wanita kerugian kira-kira RM20,000 selepas beg tangan yang berisi barang kemas, wang tunai dan beberapa dokumen penting yang ditinggalkan dalam keretanya lesap selepas kenderaan itu dipecahkan oleh penjenayah.
Kejadian berlaku di Jalan Kuantan-Pekan dekat Peramu, di sini kira-kira pukul 9 pagi semalam ketika Inshah Ab. Rahman, 58, dari Permatang Limau, Sungai Soi berhenti bersarapan di sebuah kedai makan berhampiran Yayasan Pahang.
Dia hanya menyedari perkara itu ketika kembali semula ke keretanya di tepi jalan beberapa meter dari kedai makan tersebut apabila mendapati tingkap kereta Hyundai Atos sebelah pemandu dipecahkan.
"Segala barang berharga dalam beg itu menjadi rezeki pencuri apabila semuanya lesap, malah saya terpaksa menanggung kos untuk menggantikan cermin tingkap kereta," katanya di sini hari ini.
Sebelum kejadian katanya, dia memandu sendirian dan ketika itu dalam perjalanan dari rumahnya untuk ke bandar Kuantan.
"Seperti biasa saya singgah di kedai ini untuk bersarapan dan meletakkan kereta di tepi jalan dengan meninggalkan beg di dalamnya.
"Selepas mengambil hidangan saya duduk di satu meja yang membelakangi jalan," katanya.
Katanya, ketika itu ada beberapa pelanggan lain turut bersarapan dan mereka juga meletakkan kereta di tepi jalan yang sama.
"Apabila kembali ke kereta, saya mendapati cermin pecah dengan kaca bertaburan di kerusi pemandu manakala beg tangan yang diletakkan atas kerusi hilang.
"Pencuri bertindak cepat sehingga semua pelanggan dalam kedai tidak menyedari perbuatan mereka sedangkan jarak kereta dengan kedai amat dekat," katanya.
Jelasnya, dia juga tidak pasti sama ada pencuri terlibat mengekorinya dari awal atau bertindak secara kebetulan selepas ternampak beg yang berada dalam kereta.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

No comments:

Post a Comment