Sunday, July 15, 2012

pesta ramadan

Bazar Ramadan ibarat pesta
Wartawan Sinar Harian
15 Julai 2012

KUANTAN – Ramadan adalah bulan istimewa yang dinantinanti masyarakat beragama Islam kerana ia dianggap sebagai bulan mengumpul pahala.

Bagaimanapun, bukan sekadar menunaikan kewajipan berpuasa dan melakukan ibadah sampingan tetapi banyak perkara lain yang menyebabkan kedatangan Ramadan amat istimewa.

Agak pelik sekiranya kedatangan bulan puasa tidak diiringi Bazar Ramadan dan kewujudan gerai-gerai yang menyajikan pelbagai juadah ini bukan sekadar menarik perhatian orang Islam.

Menjelang bulan Ramadan yang hanya tinggal beberapa hari lagi, Sinar Harian mendapatkan reaksi orang ramai mengenai bazar Ramadan dan rata-rata daripada mereka mengakui ia bagaikan satu pesta di bulan puasa.

Bagaimanapun, sikap segelintir masyarakat yang suka membeli mengikut nafsu sehingga mendatangkan pembaziran boleh mencemari amalan ketika berpuasa.

Seorang pengguna, Wan Mohd Zelan, 56, berkata, bazar Ramadan bagaikan satu kewajipan ketika bulan puasa dan ahli keluarganya juga sering berkunjung untuk mendapatkan juadah.

“Di kawasan ini Bazar paling popular ialah di Balok, Beserah, Sungai Karang dan boleh dikatakan memang banyak lokasinya.

“Biasanya saya ke bazar sekali-sekala sahaja kerana lebih gemar makan masakan di rumah yang lebih terjamin kualitinya.

“Setiap kali ke bazar sangat ramai pengunjung tetapi kebanyakan ialah golongan bekerja dan tidak sempat untuk memasak.

“Apa pun makan di rumah menjadi pilihan utama dan jika dibeli di bazar ia hanya makanan sampingan sahaja,” katanya.

Pengguna, Bahazlan Wahab, 56 berkata, bazar Ramadan yang ada bagaikan sebuah pesta bagi sesetengah masyarakat dan kadang-kala boleh mendatangkan kealpaan.

“Boleh dikatakan setiap hari saya mengunjungi bazar dan memang satu keseronokan kerana di bulan puasa banyak makanan yang jarang dilihat dijual.

“Tetapi jangan terlalu terpedaya dengan beraneka jenis juadah dan membeli mengikut nafsu kerana sepatutnya di bulan puasa kita lebih berjimat cermat.

“Bazar Ramadan bagaikan satu pesta dan tradisi serta jika terlalu ikut nafsu ia menjadi pesta habiskan duit pula.

“Bagaimanapun, kewujudan bazar Ramadan membawa kebaikan dan keburukan serta sebagai pengguna kita perlu bijak menilai,”katanya.

Seorang lagi pengguna, Fatimah Jusoh, 58 pula lebih gemar memasak di rumah dan hanya sesekali sahaja mengunjungi bazar.

“Sebagai suri rumah sudah tentunya kita lebih senang menyediakan juadah berbuka di rumah.

“Kadang-kadang kalau pergi ke bazar hanya untuk mencari kuih-muih sahaja dan jika masak dirumah makanan lebih selamat,”katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Bahagian Umno Indera Mahkota, Datuk Shaharuddin Shamsuddin, berkata, antara bazar Ramadan paling polular ialah di perkarangan Stadium dan rata-rata bazar yang ada memang mendapat sambutan ramai.

“Istimewanya bazar Ramadan kerana terdapat pelbagai juadah di jual dan secara tidak langsung mengetengahkan semula makanan tradisional.

“Ia sebenarnya sumber rezeki kepada peniaga kerana sesetengah penguasaha kedai makan atau restoran terpaksa berehat ketika bulan puasa.

“Bazar Ramadan menjadi punca pendapatan lain kepada mereka dan ia juga memberi peluang kepada peniaga bidan terjun.

“Walaupun seronok dengan bazar Ramadan peniaga kena sentiasa beringat dalam menyediakan makanan yang bersih.

“Makanan mestilah berkualiti dan diyakini halal kerana ia melibatkan makanan untuk orang ramai serta pengguna juga tidak perlu taksub membeli sehingga berlaku pembaziran,” katanya.

No comments:

Post a Comment