Wednesday, July 11, 2012

rezeki sukma

ARKIB : 10/07/2012

Rezeki berniaga semasa Sukma

Seorang peniaga, Nizam Mohd. Rizuan menjual baju dan seluar secara lelong di pekarangan Stadium Darul Makmur, Kuantan.
KUANTAN 9 Julai - Perniagaan merupakan satu peluang dan ruang yang benar-benar boleh memberi pulangan lumayan khususnya bagi mereka yang serius dalam bidang berkenaan.
Tidak kira apa jenis perniagaan yang dijalankan, yang penting bidang perniagaan sememangnya salah satu cabang untuk seseorang itu menjana pendapatan.
Lebih meluaskan pintu rezeki ialah apabila ada penganjuran acara besar sama ada oleh kerajaan negeri, agensi atau pihak korporat yang menarik ramai peniaga bagi memudahkan orang ramai berbelanja.
Tidak dinafikan sesuatu aktiviti itu berjaya memberi pendapatan tambahan, malah ada juga yang baru pertama kali mengikutinya turut mendapat pulangan lumayan.
Menyedari hakikat tersebut, ramai peniaga terutama di kalangan bumiputera tidak melepaskan peluang untuk berniaga sempena temasya Sukan Malaysia (Sukma) XV di negeri ini yang bermula Sabtu lalu.
Rata-rata mereka yang ditemui Utusan Malaysia berkata, fakta telah membuktikan bahawa majoriti jutawan adalah lahir daripada golongan peniaga.
Seorang peniaga barangan kraf tangan, Noraziah Awang berkata, peluang berniaga terutama ketika temasya Sukma berlangsung tidak seharusnya dilepaskan para peniaga.
"Jangan takut kita tidak akan mendapat untung kerana orang ramai tidak ke gerai kita. Ini kerana kegagalan merupakan satu lumrah yang biasanya akan dihadapi oleh para peniaga. Tetapi, ia tidak bermakna kegagalan tersebut akan membuatkan kita terus gagal dan tidak boleh mengecapi kejayaan selepas itu.
"Kegagalan dalam perniagaan sekiranya dipandang dari sudut yang positif dapat dijadikan sebagai pembakar semangat untuk meneruskan usaha membangunkan semula perniagaan," katanya.
Seorang lagi peniaga yang ditemui, Nizam Mohd. Rizuan berkata, Sukma merupakan peluang terbaik untuk para peniaga menjual barangan mereka.
"Tidak dinafikan ramai peniaga akan berniaga sewaktu Sukma berlangsung, tetapi kita sebagai seorang peniaga perlu bersabar kerana pasti akan ada pelanggan yang mengunjungi gerai kita.
"Kesabaran merupakan satu aspek yang sangat penting. Impaknya perniagaan pasti menjadi bertambah maju dan berjaya," katanya yang mengusahakan gerai menjual baju, seluar dan kasut baru serta terpakai.

No comments:

Post a Comment