Sunday, July 15, 2012

centre point

Kemeriahan Centrepoint 'terencat'
Wartawan Sinar Harian
16 Julai 2012
Kemeriahan Centrepoint 'terencat'
Dinding bangunan Centrepoint kotor akibat najis burung.
KUALA LIPIS - Penduduk daerah ini terutama pemilik premis resah berikutan bangunan Centrepoint semakin dicemari najis burung yang boleh menjejaskan keindahannya.

Keadaan itu berlaku berikutan banyak burung muncul di bangunan terbabit terutama pada waktu petang dan senja.

Berikutan itu, mereka menggesa pihak berkaitan segera mengambil langkah tertentu bagi mengatasi masalah tersebut yang telah berlarutan sejak beberapa tahun lalu.

Tinjauan Sinar Harian di sekitar bangunan tersebut mendapati najis burung itu memenuhi laluan kaki lima, tempat letak kenderaan dan atas jalan raya.

Turut menjadi ‘mangsa’ ialah kenderaan yang diletakkan di bawah pokok atau tepi bangunan apabila ia dihujani najis burung.


Bau tidak menyenangkan

Seorang penduduk, Siti Zaleha Arshad, 40, berkata, satu ketika dahulu bangunan Centrepoint tersebut menjadi mercu tanda bagi daerah ini selain turut menjadi tempat tumpuan orang ramai untuk bersantai.

“Setiap hujung minggu golongan muda kerap berkunjung ke bangunan ini untuk meluangkan masa bersama rakan-rakan.

“Namun kini bangunan Centrepoint seolah-olah sepi dari kunjungan orang ramai di tambah dengan kekotoran yang wujud di sekitar blok berkenaan,” katanya.

Siti Zaleha berkata, dia sudah tidak tahan lagi melihatkan keadaan yang berlaku kerana selain mencemar pemandangan, najis itu juga menimbulkan bau tidak menyenangkan.


Cuci kereta lebih kerap

Seorang pekerja swasta, Zahid Hamidi, 29, berkata, kenderaan miliknya akan dipenuhi najis burung setiap kali dia meletakkan  kereta di tepi bangunan atau bawah pokok di kawasan terbabit.

"Najis tersebut boleh dilihat di merata-rata tempat dan sangat banyak pada awal pagi serta waktu senja kerana pada masa itu burung-burung berterbangan pulang ke sarang.

“Kereta saya juga perlu dicuci secara kerap disebabkan najis burung tersebut,” katanya di sini, kelmarin.


Kurang selesa menjamu selera

Seorang suri rumah, Razalina Rashid, 30, berkata, najis burung boleh dilihat di merata-rata tempat di sekitar bangunan Centrepoint.

“Ia juga boleh dilihat berhampiran kedai-kedai makan dan keadaan itu menyebabkan saya kurang berselesa ketika menjamu selera.

“Saya kerap ke bangunan tersebut untuk membeli barangan keperluan dan apabila melihat kereta saya dipenuhi najis burung membuatkan saya berasa kecewa dan marah,” tegasnya.

Razalina berkata, pengunjung juga kerap menghidu bau hancing di kawasan tangga bangunan tersebut dan ini menimbulkan rasa kurang selesa kepada mereka.

Menurutnya, terdapat juga barangan rosak dan tidak boleh dipakai lagi diletakkan di beberapa bahagian bangunan tersebut dan perkara tersebut menimbulkan pemandangan yang kurang selesa.


Malu dengan orang luar

Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Zam berkata, para peniaga berasa malu terutama terhadap orang luar seperti pelancong asing apatah lagi di tempat orang ramai menjamu selera.

“Mereka mungkin membuat andaian bahawa peniaga-peniaga di sini pengotor kerana sanggup berkongsi premis perniagaan dengan najis burung,” katanya.

Zam berkata, disebabkan burung-burung itu mula memasuki bangunan itu kira-kira pukul 6.30 petang, sebahagian peniaga terpaksa menutup premis lebih awal kerana tidak sanggup dihujani najis.

“Jika sebelum ini, ramai di kalangan kami boleh berniaga sehingga malam, tetapi disebabkan masalah ini perniagaan ditutup lebih awal kerana bau yang meloyakan dan sangat tidak sesuai dengan premis makanan,” katanya.

Katanya, sehubungan itu, adalah diharapkan pihak berkaitan dapat mengambil tindakan untuk menyelesaikan masalah itu secepat mungkin.

No comments:

Post a Comment