Wednesday, July 11, 2012

mahasiswa

ARKIB : 11/07/2012

Mahasiswa perlu rasional

RAUB 10 Julai - Mahasiswa perlu berfikiran rasional dan terbuka serta tidak seharusnya berfikiran secara kritikal bagi membuat keputusan atau pertimbangan yang lebih wajar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, berfikiran secara rasional dan terbuka membolehkan mereka mengetahui keadaan sebenar situasi yang berlaku dan tidak hanya menerima bulat-bulat secara kritikal sesuatu perkara.
Menurutnya, sebagai bakal pemimpin pada masa depan, mereka perlu membuat sesuatu keputusan secara baik, bijak dan tidak berfikiran kritikal kerana ia akan menjejaskan rakyat serta negara.
“Mahasiswa perlu mengikis imej berfikiran kritikal yang kebiasaan digambarkan sebagai imej mereka yang selalunya tidak sehaluan dengan kerajaan.
“Tidak salah untuk berfikiran kritikal tetapi ia perlu kena pada tempat dan sesuatu isu yang berlaku terutama berkaitan proses demokrasi atau hak-hak rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Jalinan Kasih anjuran Mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Kampung Pamah Kulat, Dong, di sini baru-baru ini.
Beliau yang juga Pengerusi GiatMara memberitahu, mahasiswa perlu didedahkan dengan kegiatan kemasyarakatan, ekonomi, kesihatan dan politik supaya lebih memahami situasi sebenar dalam sesuatu komuniti.
Pada masa sama, beliau berharap mahasiswa bijak menggunakan kebebasan berpolitik yang diberikan kerajaan dengan sebaik mungkin agar tidak menjejaskan pembelajaran nanti.
“Saya pernah terbabit dalam politik sejak muda hingga kini tetapi ada garis panduan dan tidak menjejaskan pelajaran serta masa depan," katanya.
Tambah beliau, kerajaan menyediakan peruntukan besar dalam bidang pendidikan bertujuan melahirkan rakyat berilmu yang boleh dijadikan pemimpin pelapis negara pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment