Thursday, October 6, 2011

sekilo ayam rm 9

Ayam melonjak RM9 sekilogram

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusankuantan@kuantan.com.my

MARAN 6 Okt. – Orang ramai di beberapa daerah di negeri ini meminta kerajaan menyenaraikan ayam sebagai barang kawalan sepanjang tahun berikutan harganya yang melambung sehingga RM9 sekilogram sejak hampir sebulan lalu.

Seorang pengusaha kantin sekolah, Siti Khatijah Deraman, 45, berkata, tindakan tersebut boleh dilakukan kerana pada musim perayaan Aidilfitri lalu iaitu sewaktu skim kawalan harga dilaksanakan, harga siling ayam (standard) ditetapkan pada RM7.20 sekilogram.

Katanya, ketika itu, walaupun ayam mendapat permintaan tinggi tetapi peniaga ayam masih boleh menjualnya tidak melebihi harga siling.

‘‘Selepas berakhirnya skim kawalan harga musim perayaan seminggu selepas Aidilfitri, peniaga makanan seperti saya keluh-kesah kerana ayam melonjak sehingga RM9 sekilogram, sedangkan sebulan yang lalu ia dijual tidak lebih RM7.20 sekilogram.

‘‘Lebih perit, masakan berasaskan ayam tetap dijual pada harga biasa kerana pengusaha kantin seperti saya tertakluk kepada perjanjian dengan Jabatan Pelajaran Negeri Pahang,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurut seorang pengguna dari Temerloh, Azizah Bakar, 50, apabila disoal perkara ini kepada peniaga ayam, mereka memberikan pelbagai alasan, antaranya masalah kekurangan bekalan.

‘‘Saya bimbang harga ayam akan melonjak sehingga RM10 sekilogram terutama pada hujung tahun apabila bekalan ikan kurang berikutan musim tengkujuh.

‘‘Bagi pengguna, kami tidak ada banyak pilihan kerana ayam digemari semua peringkat. Maka kerajaan kena lakukan sesuatu bagi membendung ketamakan peniaga,‘‘ katanya.

Seorang suri rumah dari Maran, Asmah Abd. Hamid, 41, berkata, peniaga perlu memikirkan kepentingan orang ramai dan tidak semata-mata mahu mengaut untung.

‘‘Dalam hal ini kerajaan perlu bertegas mengawal harga ayam kerana jika kekurangan bekalan dijadikan alasan, ia tak masuk akal. Sebabnya, kalau kita nak beli banyak mana pun ayam, bekalannya tetap ada,” ujarnya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di beberapa pasar raya dan pasar tani di Bandar Tun Abdul Razak, Jengka, dekat sini mendapati harga ayam dijual antara RM8.50 hingga RM9 sekilogram.

Sebagai contoh, ada pasar raya yang menjualnya pada harga RM8.50 dan RM8.90 sekilogram manakala di Pasar Tani Jengka, ayam dijual pada harga RM9 sekilogram.

No comments:

Post a Comment