Tuesday, October 25, 2011

samun puluhan ribu

Dua beranak rugi RM47,000

KUANTAN 25 Okt. – Dua beranak kerugian RM47,000 selepas disamun tiga lelaki bersenjatakan parang di rumah mereka di Kampung Sungai Putat, Padang Piol dekat Jerantut, awal pagi semalam.
Dalam kejadian pukul 2.30 pagi itu, mangsa, seorang suri rumah warga emas berusia 69 tahun sedang tidur di ruang tamu bersama anak perempuannya yang berusia 34 tahun.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Bahagian Siasatan dan Perundangan) negeri, Supritendan Mohd. Haris Daud (gambar) berkata, ketiga-tiga suspek dipercayai memasuki rumah mangsa melalui tingkap dapur.
“Mangsa dan anaknya sedang nyenyak tidur sebelum dikejutkan suspek yang menutup muka mereka sambil mengacukan parang.
“Suspek kemudian mengikat mangsa dengan wayar seterika sebelum menggeledah rumah dua beranak itu,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, hari ini.
Katanya, suspek berjaya melarikan wang tunai sebanyak RM1,000 bersama barang kemas bernilai kira-kira RM46,000.
Tambahnya, selepas kesemua suspek melarikan diri, mangsa berjaya membuka ikatan mereka sebelum meminta bantuan jiran.
Mangsa membuat laporan di Balai Polis Jerantut dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, katanya.
Mohd. Haris turut menasihatkan orang ramai supaya meningkatkan tahap keselamatan kediaman dan melaporkan kepada polis jika meninggalkan rumah mereka sepanjang musim perayaan ini.

No comments:

Post a Comment