Wednesday, October 26, 2011

bantuan untuk majukan tanah terbiar

Peluang majukan tanah terbiar

TEMERLOH 26 Okt. - Petani dan pemilik tanah terbiar di daerah ini diminta merebut peluang bantuan berbentuk geran daripada Jabatan Pertanian Temerloh untuk dimajukan dengan aktiviti pertanian.
Pegawai Pertanian daerah itu, Jusri Jusop berkata, bantuan tersebut akan diberi kepada kelompok masyarakat yang memohon secara berkumpulan dengan syarat sekurang-kurangnya memiliki tanah berkeluasan empat hektar.
Menurutnya, permohonan setiap kumpulan tidak semestinya di atas sebidang tanah yang berkeluasan empat hektar sebaliknya boleh diberi jika tanah itu di lokasi berlainan asalkan dalam pentadbiran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang sama.
"Kerajaan melalui Jabatan Pertanian daerah akan memberi bantuan berbentuk geran bernilai RM20,000 setiap hektar dengan syarat setiap permohonan mesti mempunyai saiz tanah seperti berikut," katanya selepas bertemu dengan masyarakat Kampung Tanjung Kerayong dan Lebak di sini, baru-baru ini.
Jusri berkata, antara syarat lain yang dikenakan ialah kawasan terbabit tidak berada dalam kawasan dilanda banjir dan perlu ditanam dengan tanaman kontan sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun.
Tambahnya, jika mereka memohon bantuan empat hektar, kesemua duit tersebut tidak disalurkan kepada mereka sebaliknya dikawal Jabatan Pertanian daerah.
Menurutnya, 70 peratus daripada wang bantuan tersebut akan digunakan untuk membina infrastruktur seperti sistem pengairan dan jalan ladang.
"Baki 30 peratus akan digunakan untuk bekalan input pertanian seperti baja, benih dan sebagainya," jelasnya.

No comments:

Post a Comment