Thursday, October 20, 2011

mohon percepat bina jalan ke hulu tembeling

Menanti jalan raya siap di Hulu Tembeling

Saudara Pengarang,
MAT GAHARU
Hulu Tembeling

SAYA merupakan penduduk di pedalaman Hulu Tembeling di daerah Jerantut sudah melepasi separuh abad kerap berulang alik ke bandar Jerantut untuk berbelanja dan melaksanakan pelbagai urusan menggunakan bot penambang.

Begitu juga dengan penduduk lain yang menjalankan urusan peribadi, perniagaan dan berbelanja keperluan dapur setiap hari menggunakan bot itu untuk ke bandar.

Kos tambang dan menyewa bot penambang termasuk penginapan bermalam di bandar Jerantut melebihi perbelanjaan membeli keperluan harian.

Perjalanan kami menggunakan bot penambang dari jeti Kampung Bantal ke jeti berdekatan Taman Negara Kuala Tahan mengambil masa selama empat hingga lima jam ketika air pasang, manakala mencecah hingga lapan jam jika air surut.

Apa yang ingin saya luahkan ialah pembinaan jalan raya yang dijanjikan sejak dua dekad lalu masih belum direalisasikan untuk kemudahan penduduk berulang-alik ke bandar Jerantut.

Projek berkenaan semakin hebat disuarakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu dan cuma nampak ada sedikit tanda sahaja projek berkenaan bermula apabila kerja jajaran, menarah cerun dan membaiki laluan balak dilaksanakan bermula dari Kampung Tuit (Kuala Tahan) hingga ke Kampung Pagi.

Nampaknya, projek berkenaan yang bermula pada awal 2010 dan dijangka siap 2013 agak perlahan dan saya yakin ia tidak akan dapat direalisasikan.

Penduduk Hulu Tembeling bertambah sukar berbelanja ke bandar Jerantut walaupun sudah sinonim menggunakan bot penambang untuk memunggah barang dan penumpang ke sesebuah destinasi.

Saya simpati melihat warga emas, wanita, kanak-kanak dan orang sakit untuk ke bandar Jerantut bagi tujuan tertentu sedangkan mereka antara penduduk yang sepatutnya sudah menikmati kemudahan jalan raya.

Persoalannya, bila projek jalan raya Kuala Tembeling ke Hulu Tembeling akan direalisasikan untuk kemudahan perhubungan kami.

No comments:

Post a Comment