Monday, October 24, 2011

jom kayuh

Aktiviti Kayuhan Bandar Kuantan


Berbasikal sambil beriadah beramai-ramai menjadikan jarak kayuhan terasa dekat dan mengukuhkan perpaduan kaum.


KUANTAN 24 Okt. - Suatu ketika dulu, tidak banyak perkara boleh dikaitkan dengan peranan basikal melainkan sekadar menjadi alat pengangkutan kepada pelajar untuk ke sekolah atau sebagai salah satu permainan kepada golongan kanak-kanak.
Namun basikal yang semakin hilang kepentingan sebagai alat pengangkutan kini kembali dengan tarikan lebih besar untuk aktiviti sukan, rekreasi dan kecergasan seiring dengan perkembangan masa dan perubahan corak kehidupan.
Basikal kini muncul dengan pelbagai reka bentuk, corak dan kegunaannya dengan harga bermula dari ratusan sehingga mencecah puluhan ribu ringgit manakala penggemarnya terdiri daripada pelbagai peringkat usia.
Baru-baru ini kerajaan negeri mengumumkan basikal sebagai ikon pelancongan bagi membangkitkan kembali nostalgia lampau selain dapat mendorong rakyat mengamalkan gaya hidup sihat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Warisan, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, pemilihan basikal sebagai ikon pelancongan menerusi penganjuran pelbagai aktiviti berbasikal dijangka dapat menambah minat pelancong untuk berkunjung ke Pahang.
Menurut beliau, dengan kemajuan dan kecanggihan teknologi pengangkutan pada masa kini, kewujudan basikal semakin dilupakan dan sebab itu, program untuk menggalakkan aktiviti 'mengayuh' perlu diperbanyakkan.
Justeru katanya, melalui program Kayuhan Bandar Kuantan atau Kuantan Townride merupakan salah satu aktiviti kesinambungan 'Pahang Basikal Mania' yang dipromosikan oleh Pelancongan Pahang baru-baru ini.
Usaha itu bagi memastikan agar aktiviti berbasikal dapat diteruskan melalui kegiatan secara santai termasuk bersama keluarga.
"Aktiviti ini dapat mengeratkan hubungan antara ahli keluarga serta masyarakat dan bagi pelancong pula mereka akan dapat menikmati keindahan bandar Kuantan dengan cara yang mesra alam, sihat serta murah.
"Sebagai mana yang kita tahu, dengan berbasikal ia tidak memerlukan penggunaan bahan bakar dan untuk tujuan itu, setiap hotel di sini digalakkan menyediakan sewaan basikal bagi kegunaan para pelancong," katanya ketika ditemui selepas program Kayuhan Bandar Kuantan di sini semalam.
Seramai 300 peserta dari pelbagai usia terdiri daripada warga Kuantan terlibat menyertai program anjuran Pelancongan Pahang itu.
Program yang turut mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan tersebut akan diadakan pada setiap Ahad minggu pertama dan ketiga, setiap bulan.
Kata Shafik Fauzan lagi, seluruh warga Kuantan dialu-alukan untuk menyertai kayuhan tersebut dan semua jenis basikal boleh menyertainya termasuk beca, basikal tua, tandem- bike dan sebagainya.
"Malah pejalan kaki dan penggemar papan seluncur juga boleh turut serta di laluan yang disediakan. Aktiviti bermula dari pukul 7 hingga 11 pagi," katanya.
Tambahnya, Kayuhan Bandar Kuantan akan melibatkan beberapa laluan utama di sini bermula di Padang Kemunting sebelum peserta membuat pusingan 'U' di lampu isyarat Tanah Putih dan diikuti berkayuh melalui bangunan Telekom Malaysia dan Hospital Tengku Ampuan Afzan.
Kemudian katanya, peserta akan berkayuh ke Jalan Mahkota melalui Hotel Suraya, Jalan Teluk Sisek, Jalan Beserah sehinggalah ke Jalan Dato' Wong Ah Jang dan Jalan Penjara sebelum berakhir di Taman Esplanade di sini.
"Untuk tujuan keselamatan para pengayuh, satu laluan paling kiri di sepanjang jalan yang terlibat akan ditutup untuk para pengguna kenderaan bermotor dari pukul 7 hingga 11 pagi pada setiap hari kayuhan diadakan.
"Bagi pengguna jalan raya lain, mereka diminta berkerjasama ketika menggunakan laluan terbabit bagi memberi ruang kepada para peserta untuk berbasikal dengan selesa dan selamat," katanya.
Dalam pada itu, katanya, dengan berbasikal, peserta terlibat akan dapat berkumpul dengan kenalan baru daripada pelbagai latar belakang seterusnya membuka ruang untuk berkongsi minat sesama mereka.
Bagi yang baru menceburi sukan ini pula katanya, mereka tidak harus terpengaruh dengan iklan atau sikap rakan yang sanggup membelanjakan wang beribu-ribu ringgit untuk sebuah basikal .
"Sebagai permulaan, mereka hanya perlu berbelanja sekitar RM1,000 untuk sebuah basikal yang baik atau hanya sekitar RM300 sebuah bagi basikal biasa dan ia boleh ditambah spesifikasinya.
"Sebelum membeli sebuah basikal seseorang perlu mengetahui spesifikasi, kategori kayuhan dan penggunaannya sama ada untuk senaman atau pertandingan," ujarnya lagi.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment