Monday, October 24, 2011

paksa beli dan kena samun

Warga emas rugi RM12,000 disamun 5 penjual ubat

MARAN 24 Okt. - Sepasang suami isteri warga emas kerugian RM12,000 apabila rantai emas dan wang tunai mereka disamun lima penyamun termasuk tiga wanita yang menyamar sebagai penjual ubat di rumahnya di Felda Kemboja Jengka 4 di sini kelmarin.
Menurut Sulaiman Taib, 75, kejadian berlaku pukul 4.30 petang ketika dia dan isterinya, Supiah Aziz, 76, berehat di ruang tamu rumahnya sebelum didatangi lima suspek berkenaan yang menaiki kereta Mercedes-Benz.
Katanya, mereka menyatakan kedatangan ke tanah rancangan itu adalah untuk berniaga ubat bagi kegunaan warga emas yang uzur seperti jenama Seagold Liquid, Nano X Lim dan Misai Kucing.
Tambahnya, dia berbual dengan dua suspek lelaki di ruang tamu manakala tiga perempuan lain mengajak Supiah naik ke tingkat atas kononnya memperkenalkan pelbagai jenis produk perubatan.
"Isteri saya uzur dan tidak mampu bergerak dengan cergas akibat strok dan ketiga-tiga perempuan terbabit ke tingkat atas berhampiran tempat tidur kami.
"Tiba-tiba suspek perempuan itu merampas rantai leher dipakai isteri saya dan mencuri wang tunai lebih RM2,500," katanya kepada Utusan Malaysia di rumahnya dekat sini hari ini.
Sulaiman berkata, dia juga dipaksa membayar tunai RM240 untuk barangan lima kotak ubat Seagold, tiga kotak Nanoxlim, sekotak Misai Kucing dan dua kotak set gelas.
Katanya, dia juga diberi tiga keping resit yang setiap satu bernilai RM1,400 ditandatangani nama seorang lelaki dari Taman Gadung Perdana, Melaka.
"Saya merayu supaya pulangkan kembali duit dan rantai tersebut, tetapi tidak diendahkan mereka lalu pergi begitu sahaja menaiki kenderaan tersebut," katanya.
Katanya, berikutan kejadian itu dia membuat laporan di Balai Polis Felda Jengka 4 semalam.
Dalam pada itu, Ketua Kampung Felda Jengka 4, Wan Mustaffa Roni Wan Hayat berkata, kumpulan tersebut dipercayai mensasarkan warga emas sebagai mangsa.
"Sebelum itu, suspek akan memastikan tiada ahli keluarga lain," katanya dan meminta masyarakat peneroka berwaspada dengan mana-mana jurujual.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment