Wednesday, October 12, 2011

peluang kerjaya

Peluang kerja di sektor awam


Sultan Ahmad Shah mendengar penerangan daripada Norisah Baharom sambil diperhatikan oleh Adnan Yaakob dan Jamaluddin Ahmad Damanhuri pada Karnival Kerjaya Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di Kuantan, Pahang, baru-baru ini. - UTUSAN/MAHATHIR ALI


KUANTAN 12 Okt. - Masalah pengangguran atau kerja tidak sepadan dengan kelayakan pendidikan merupakan antara perkara yang sering diberi perhatian terutamanya bagi golongan muda yang baharu memulakan hidup berdikari.
Bukan sahaja mencari sumber pendapatan untuk membayar hutang ketika melanjutkan pelajaran, kerjaya pertama merupakan langkah besar dalam memulakan hidup dan membina keluarga sendiri.
Tidak ketinggalan juga di kalangan pekerja yang mahu meningkatkan prospek kerjaya masing-masing melalui tawaran kerja lebih lumayan dan bersesuaian dengan kepakaran serta keperluan semasa kehidupan mereka.
Justeru, Karnival Kerjaya Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC), di sini baru-baru ini adalah platform terbaik bagi rakyat di Pahang menceburkan diri dalam sektor perkhidmatan awam yang menjanjikan masa depan terjamin.
Majlis itu dirasmikan oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob serta Pengerusi SPA, Tan Sri Jamaluddin Ahmad Damanhuri dan Penolong Pegawai Teknologi Maklumat SPA, Norisah Baharom.
Program dua hari yang memberikan peluang kepada rakyat negeri ini mendapatkan maklumat mengenai peluang pekerjaan yang membolehkan mereka ceburi dalam sektor awam itu mendapat sambutan ramai apabila kira-kira 10,000 pengunjung hadir pada karnival tersebut.
Rata-rata pengunjung yang hadir berharap supaya SPA dapat meneruskan penganjuran program tersebut pada setiap bulan di negeri ini.
Noorhalijah Mohd. Ali, 21, berkata, rakyat Pahang terutama di Kuantan berterima kasih kepada SPA kerana menganjurkan karnival itu yang akan memberikan mereka maklumat mengenai peluang kerja di sektor awam di negara ini.
Beliau bagaimanapun berharap, penganjuran karnival sedemikian akan dapat diteruskan dari semasa ke semasa serta diperluaskan di seluruh Pahang.
"Saya berharap program ini dapat diperluaskan ke setiap daerah bagi memberi peluang kepada golongan sasaran (belia) untuk mendapatkan maklumat tentang peluang-peluang pekerjaan yang boleh mereka ceburi dalam sektor awam," katanya.
Siti Zuraini Mohd. Ariff, 25, pula berkata, pembukaan pusat temu duga SPA di Kuantan akan dapat menyalurkan maklumat kepada orang awam seperti mengadakan hari bersama pelanggan, ceramah kerjaya kepada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.
Katanya, ia merupakan pendekatan yang baik daripada pihak SPA kerana program-program seumpama itu akan dapat mendekatkan lagi suruhanjaya tersebut dengan masyarakat setempat.
"Dengan kata lain, rakyat akan mendapat faedah dan nilai tambah daripada pembukaannya," katanya.
Sementara itu, Noormaslina Ali, 24, berkata, bekerja di sektor kerajaan dapat menjamin pelbagai kebaikan selain berpeluang menikmati pelbagai insentif serta masa depan terjamin.
"Sejak dahulu lagi, saya berharap dapat bekerja di sektor kerajaan dan bagi saya banyak faedah yang disediakan termasuklah pencen.
"Pada masa ini, apa yang lebih penting adalah mencari pekerjaan yang mempunyai masa depan. Jadi, karnival sebegini perlu diadakan setiap masa bagi memberi peluang kepada kami mencari pekerjaan dalam sektor awam," katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment