Saturday, October 8, 2011

mahu jambatan


Penduduk dua kampung mohon ganti jambatan gantung

Arifin Singah menunjukkan tali pengikat jambatan gantung kerap terputus yang menghubungkan Kampung Mambang Berulang dan Sungai Dingin, Mentakab, Pahang, baru-baru ini. - MINGGUAN/MUSAZLILA MUSTAPAR

TEMERLOH 8 Okt. - Seramai 500 penduduk Kampung Mambang Berulang dan Sungai Dingin, dekat sini berhadapan risiko kemalangan berikutan jambatan gantung yang digunakan bagi menghubungkan kampung berkenaan dengan bandar Mentakab kerap mengalami kerosakan.

Seorang penduduk, Arifin Singah, 75, berkata, jambatan gantung yang berusia separuh abad itu sudah tidak lagi sesuai kerana faktor pertambahan penduduk dan kenderaan.

"Negara kita telah merdeka 54 tahun dan jambatan sepanjang 200 meter itu tidak lagi sesuai digunakan zaman sekarang. Tambahan pula, jambatan itu sudah uzur dan mengalami banyak kerosakan.

"Setiap tahun jambatan itu dibaiki dengan kos yang tinggi. Apa salah kiranya kos itu digunakan untuk membina sebuah jambatan konkrit yang lebih selamat dan mampu dilalui oleh kereta," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Marto Marjo, 52, pula berkata, jambatan itu hanya boleh dilalui oleh motosikal manakala kereta pula perlu diletakkan di seberang jika ingin ke bandar Mentakab yang terletak kira-kira empat kilometer.

Katanya, penduduk juga bimbang kereta yang ditinggalkan di seberang dicuri atau dihempap pokok seperti kejadian ribut yang berlaku beberapa bulan lalu.

"Jika jambatan ini diganti dengan jambatan konkrit, ia memudahkan penduduk membawa kereta selain boleh disimpan di pekarangan rumah masing-masing. Kami tidak mahu jambatan yang besar tetapi cukuplah sekadar boleh dilalui sebuah kereta," katanya.

Bukhari Sinin, 56, pula berkata, tali pengikat jambatan itu sendiri sudah tidak kukuh dan kerap terputus menyebabkan mereka berasa tidak selamat menggunakan jambatan itu.

"Penduduk sudah mohon supaya jambatan konkrit dibina. Namun masih belum ada tindakan. Cuma kerja-kerja membaiki jambatan itu dilaksanakan.

''Sampai bila kami perlu mempertaruhkan nyawa terutama murid-murid yang cukup berisiko terjatuh ke dalam sungai ketika menggunakan jambatan itu ke sekolah," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Datuk Chuah Boon Seong berkata, beliau memahami masalah yang dihadapi penduduk di dua buah kampung itu.

"Kita akan berusaha mendapatkan jambatan konkrit bagi kegunaan penduduk di sini dan saya akan berbincang dengan pihak-pihak berkenaan untuk mengetahui kos pembinaan jambatan baharu itu nanti.

"Kita harap penduduk di sini bersabar untuk sedikit masa lagi kerana saya perlu berbincang secara lebih terperinci dengan pihak berkaitan," katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment