Wednesday, October 26, 2011

kesihatan orang asli

Kesedaran penduduk Orang Asli meningkat


Penduduk Orang Asli mendengar ceramah kesihatan sementara menunggu untuk menjalani pemeriksaan yang dikendalikan oleh Hospital Jerantut di Sungai Mai, Jerantut, baru-baru ini.


JERANTUT 26 Okt. - Program Kem Kesihatan anjuran Hospital Jerantut dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di perkampungan Orang Asli Suku Semai di Sungai Mai dekat sini mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat.
Mereka menyifatkan, usaha para doktor dan petugas hospital turun ke kampung berkenaan membuktikan kakitangan kerajaan mempunyai integriti dalam membantu penduduk di situ.
Seorang penduduk, Raman a/l Noor, 38, berkata, langkah berkenaan diharap dapat dilaksanakan secara berkala demi kebaikan penduduk.
"Tidak dinafikan masih terdapat segelintir penduduk yang enggan ke hospital jika menghidap penyakit, berikutan faktor kedudukan rumah yang jauh dengan bandar, kekangan kewangan dan masa.
"Kehadiran doktor dan petugas hospital ke kampung ini bukan sahaja merapatkan hubungan, malah disambut baik kerana mereka menjalani pemeriksaan kesihatan tanpa rasa takut," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Seorang lagi penduduk Sungai Mai, Diah a/p Puteh, 26, memuji usaha tersebut kerana ia memberi peluang kepada mereka mengetahui tahap kesihatan semasa dan menimba pelbagai ilmu kesihatan.
Katanya, pengetahuan diperoleh itu amat berguna untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.
Pengerusi Belia Cawangan Orang Asli Sungai Mai, Salina a/p Raman, 24, berkata, program tersebut dapat meringankan beban penduduk yang terpaksa mengeluarkan belanja besar jika ingin mendapatkan rawatan di bandar.
"Ia menyuntik pengetahuan berguna khususnya memastikan ubat yang diberikan dimakan dengan cara betul ketika sakit," katanya.
Tambahnya, penerangan tentang jenis ubat oleh kakitangan perubatan sangat berguna untuk dijadikan panduan pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment