Tuesday, October 18, 2011

ikip

Lemah di sekolah, cemerlang di IKIP


ADNAN Yaakob (tiga dari kiri) bersama penerima Anugerah Menteri Besar Pahang, Mohd. Shazwan Jalani (dua dari kiri) dan keluarga graduan tersebut pada Konvokesyen Kolej Antarabangsa IKIP di Kuantan, baru-baru ini.


KUANTAN 18 Okt. - Kecurian kereta salah seorang ahli keluarga yang datang bagi menghadiri konvokesyennya telah memberi kejutan dan menyebabkan penerima Hadiah Menteri Besar Pahang iaitu anugerah utama pada Majlis Konvokesyen Kolej Antarabangsa IKIP berasa begitu sedih.

Mohd. Shazwan Jalani, 21, lulusan Diploma Sains Komputer (Multimedia) berkata, kecurian itu berlaku sewaktu ahli keluarganya menginap di sebuah hotel di sini.

Namun, beliau yang turut diumumkan penerima Hadiah Yayasan Pahang melahirkan rasa syukur dan gembira apabila segala usaha kerasnya selama ini membuahkan hasil.

''Saya sedih mengenangkan apa yang terjadi, namun tetap bersyukur kerana keluarga tetap hadir memberi sokongan pada majlis konvokesyen ini di sebalik insiden itu.

''Hari ini juga penuh bermakna buat saya apabila meraikan kejayaan ini serentak dengan sambutan hari jadi ibu, Pauziah Asri, 50, yang selama ini tidak jemu memberi sokongan," katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.

Beliau adalah antara 667 graduan yang menerima ijazah dan diploma daripada Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob pada majlis konvokesyen kolej tersebut yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini.

Sementara itu, Mohd. Shazwan berkata, pada mulanya rasa kecewa timbul apabila pencapaian di peringkat sekolah menengah tidak memberangsangkan, namun beliau tekad membuktikan kepada keluarga bahawa kejayaan boleh dicapai sekiranya terus berusaha tanpa mengenal erti putus asa.

''Kejayaan ini akan menjadi inspirasi kepada adik-adik saya yang masih bersekolah supaya berusaha lebih gigih untuk mengecapi kejayaan pada masa depan.

''Saya berterima kasih dan bersyukur dengan kejayaan yang dikecapi hasil dorongan daripada keluarga, rakan-rakan serta pensyarah yang tidak jemu mendidik saya," katanya yang kini menyambung pelajaran di peringkat ijazah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor Bahru.

Sementara itu, seorang graduan orang kurang upaya (OKU), Sayed Muzammil Sayed Mohamad, 24, yang turut memperolehi Hadiah Yayasan Pahang berharap pihak majikan tidak memandang rendah kepada keupayaan golongan OKU.

Pemegang Diploma Grafik dan Media Digital yang mengalami kecacatan pada mata sebelah kanan sejak lahir berkata, keadaan fizikal beliau tidak sedikit pun menghalangnya untuk bersaing bersama rakan yang lain sehingga memperoleh keputusan cemerlang.

''Saya berharap ada majikan di luar sana memberi peluang kepada golongan OKU untuk mempamerkan kemahiran yang dimiliki kerana itu lebih bermakna bagi kami kerana setiap individu mempunyai keistimewaan tersendiri," katanya yang juga penerima Anugerah Dekan selama enam semester berturut-turut.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment