Thursday, October 6, 2011

balak lalu jalan rosak


Lori balak jejaskan laluan ke Taman Negara

MAT RAMBO.
Kuala Tahan, Jerantut


SEBUAH lori balak yang mengangkut keluar muatan dari hutan ke kilang melalui jalan Kuala Tahan ke bandar Jerantut, baru-baru ini.

Saudara Pengarang,
SAYA merupakan salah seorang penduduk Taman Negara Kuala Tahan yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dalam bidang pelancongan sejak 20 tahun lalu.

Saya terpanggil untuk menggerakkan perhatian pihak berwajib mengenai jalan raya dari Simpang Jerantut Feri ke Felda Padang Piol melalui Felda Sungai Retang ke Taman Negara Kuala Tahan yang kerap dilalui kenderaan berat.

Senario yang berlaku sejak beberapa tahun lalu memberi kesan teruk, iaitu kerosakan permukaan jalan raya menghubungkan ke pusat pelancongan berkenaan yang saban waktu dikunjungi pelawat dari seluruh dunia.

Laluan lori balak dengan muatan berat yang keluar masuk menyebabkan struktur permukaan jalan rosak dan kerap ditakungi air hujan sehingga mengganggu keselesaan pengguna lain.

Tempat yang agak ketara kerosakannya termasuk laluan sempit antara Simpang Jerantut Feri ke Felda Padang Piol yang bermula dari Felda Sungai Retang ke Taman Negara Kuala Tahan.

Keadaan itu juga dilihat boleh mengundang kecelakaan di kalangan pengguna jalan raya termasuk motosikal ketika melalui kawasan berlopak dan terbiar kerana lambat diselenggarakan oleh pihak berwajib.

Seingat saya, sudah dua kemalangan maut berlaku di jalan berkenaan pada bulan ini berikutan kenderaan ringan cuba mengelak laluan berlopak dan bertembung dengan kenderaan lain.

Salah satu kemalangan baru-baru ini membabitkan sebuah kereta yang dipandu seorang peneroka bertembung dengan sebuah lori balak tanpa muatan apabila kereta itu cuba mengelak jalan yang sedang dibaiki berdekatan Felda Sungai Retang.

Sebagai pengusaha pelancongan di Taman Negara, saya kerap diajukan soalan oleh pelancong Barat yang prihatin dengan isu berkenaan dan mereka juga antara yang terbabit dengan kegiatan sama di tempat masing-masing di Eropah, Amerika Latin, Amerika Syarikat dan Asia.

Mereka terkejut dan kesal kenapa kerajaan negeri belum menguatkuasakan peraturan supaya tidak membenarkan kenderaan berat melalui jalan raya yang menghubungkan pusat pelancongan bertaraf antarabangsa itu.

Senario itu menurut pelancong berkenaan tidak akan berlaku di kawasan pelancongan di negara Barat dan Asia yang lain kerana kerajaan mereka menyediakan laluan alternatif untuk kenderaan berat ke kilang, malah aktiviti pembalakan tidak wujud berdekatan pusat rekreasi.

Penjelasan pelawat 'Mat Salleh' itu barang kali wajar direnung pihak berkuasa kerana masih memandang ringan isu berkenaan yang boleh menjejaskan sektor pelancongan di Taman Negara Kuala Tahan.

Menerusi Rakan Pahang ini, saya berharap kerajaan negeri cuba mengatasi masalah berkenaan jika sekali pun jalan raya itu diwartakan sebagai Jalan Persekutuan yang membolehkan semua kenderaan menggunakan laluan berkenaan.

Saya berharap demi kelangsungan pembangunan sektor pelancongan antara punca rezeki penduduk tempatan di Kuala Tahan dan Hulu Tembeling wajarlah kenderaan berat dilarang melalui laluan berkenaan.

Saya yakin dengan kemajuan teknologi, kerajaan negeri boleh membina laluan baru untuk kenderaan berat membawa balak atau muatan lain ke kilang bagi menyelamatkan sektor pelancongan.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment