Wednesday, April 17, 2013

muka baru

Wanita lulusan Al-Azhar antara muka baharu Barisan Nasional

KUANTAN 17 April - Barisan Nasional (BN) negeri menampilkan gabungan calon baharu yang berwibawa termasuk berlatar belakang pendidikan agama pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Antara calon baru itu, Nurhidayah Mohamed Shahaimi, 30, adalah berkelulusan Syariah dari Universiti Al-Azhar, Mesir yang diketengahkan pucuk pimpinan BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Luit.
Nurhidayah yang pernah berkhidmat sebagai guru agama dan pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di Maran, berkata, Luit bukan satu kawasan yang asing baginya dan beliau bertekad untuk melakukan yang terbaik bagi memberi kemenangan kepada BN.
"Walaupun terkejut apabila diumumkan sebagai calon oleh Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Adnan Yaakob, saya akan berusaha bersungguh-sungguh memikul tanggungjawab yang diamanahkan ini.
"Saya akan melipat gandakan usaha selama ini agar dapat meningkatkan majoriti kemenangan BN berbanding pada 2008," kata anak jati Luit kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Nurhidayah yang dilahirkan di Kampung Sentosa, Maran dekat sini merupakan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Maran dan menyertai UMNO pada 2006.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maran ini berkata, berbekalkan pengalamannya bersama masyarakat ketika mengetuai aktiviti Pergerakan Puteri UMNO di kawasan berkenaan, beliau yakin dapat menawan hati pengundi.
Sementara itu, calon DUN Chenor, Mohamed Ariffin Awang Ismail yang juga muka baharu bertekad berjuang habis-habisan bagi memberi kemenangan kepada BN pada pilihan raya ini.
"Walaupun saya tidak sehebat Allahyarham Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak iaitu penyandang sebelum ini namun, saya akan melaksanakan tanggungjawab ini dengan baik.
"Pengalaman saya sebagai penjawat awam akan digunakan sebaik mungkin bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi penduduk di sini," katanya yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Maran.
Bagi calon BN DUN Tanjung Lumpur, Datuk Tengku Zulkifli Tengku Ahmad, beliau tidak menyangka akan tercalon pada pilihan raya umum ini kerana kerja yang dilakukan untuk UMNO Bahagian Kuantan semata-mata mahu parti itu terus berkhidmat kepada rakyat.
Beliau yang juga bekas Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) negeri berharap akan meneruskan kesinambungan wakil rakyat terdahulu dalam memastikan masyarakat di kawasan tersebut terus terbela.

No comments:

Post a Comment