Tuesday, March 5, 2013

pampasan pindah

Orang Asli terima pampasan RM355,029
Wartawan Sinar Harian
4 Mac 2013
Datuk Wan Rosdy Wan Ismail
Datuk Wan Rosdy Wan Ismail
CAMERON HIGHLANDS - Seramai 40 penduduk Orang Asli yang terlibat dengan proses perpindahan berikutan pembinaan Empangan Hidroelektrik Hulu Jelai, di sini, menerima wang pampasan antara RM6,000 hingga RM70,000 setiap seorang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, secara keseluruhannya, Tenaga Nasional Berhad (TNB) membayar pampasan sebanyak RM355,029 melibatkan penduduk Kampung Teiji dan Kampung Leryar.

“Penduduk berkenaan kini ditempatkan di Projek Pemajuan Kampung di Kampung Leryar setelah projek pembinaan empangan bernilai RM2.15 bilion dimulakan tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada Orang Asli di Pos Betau, di sini.

Sempena majlis berkenaan, Wan Rosdy menyampaikan baucar BR1M bernilai RM125,500 untuk 500 penerima belum berkahwin serta baucar bernilai RM850,000 untuk 1,700 penduduk Orang Asli berkeluarga di 18 kampung di Pos Betau.Wan Rosdy yang juga Adun Jelai berkata, kerajaan negeri sedaya upaya memastikan pengambilan tanah Orang Asli untuk projek pembangunan dilakukan secara terkawal dan mengikut peraturan, di samping membelanjakan wang yang banyak untuk bayaran pampasan
supaya kaum minoriti itu beroleh keselesaan hidup.

“Kerajaan juga menyediakan projek kediaman baru di Kampung Leryar agar mereka dapat hidup dalam satu komuniti di bawah pengurusan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di samping bekerja di sektor pertanian di kawasan Cameron Highlands,” katanya.

No comments:

Post a Comment