Tuesday, April 23, 2013

bendera siapa yg cucuk mataku ni

Buluh bendera terkena mata
Wartawan Sinar Harian
23 April 2013
Buluh bendera terkena mata
Asaari menunjukkan lokasi buluh bendera yang tumbang mengenai matanya di Kuala Krau, kelmarin.
Buluh bendera terkena mata
Asaari menunjukkan mata kanannya yang merah.
KUALA KRAU – Seorang kakitangan pejabat hutan Gunung Senyum cedera di mata kanan selepas terkena buluh bendera yang dipacakkan di tengah pembahagi jalan dekat persimpangan ke Rumpun Makmur, petang kelmarin.

Mangsa, Asaari Hassan, 53, berkata, kejadian berlaku pada jam 5.30 petang Ahad lalu ketika dia menunggang motosikal seorang diri dari pekan Kuala Krau menuju ke rumahnya.

Namun katanya, ketika dia cuba membelok di persimpangan itu, tiba-tiba sebatang buluh bendera yang dipacakkan di tengah pembahagi jalan, tumbang lalu mengenai mata kanannya.

“Saya rasa sangat pedih dan terpaksa menghentikan motosikal. Nasib baik saya masih mampu mengawal motosikal daripada terjatuh,” katanya, di sini, semalam.

Asaari berkata, kejadian itu menyebabkan bahagian dalam matanya merah dan pedih, selain kesan bengkak kelihatan di sekeliling mata sehingga kini.

Menurutnya, dia yang tidak berpuas hati dengan perkara itu kemudiannya membuat laporan polis pada malam kejadian.

“Sampai sekarang keadaan mata kanan saya masih pedih dan penglihatan pula jadi kabur,” katanya.

Dalam pada itu, Asaari juga menggesa semua parti politik bertanding berhati-hati ketika memasang bendera parti dan mengambil kira keselamatan orang lain.

Menurutnya, kerja-kerja pemasangan bendera dan poster terutama di bahu serta simpang jalan juga perlu mengambil kira faktor keselamatan pengguna.

“Saya harap apa yang berlaku pada saya, tidak akan berulang lagi pada orang lain. Harap petugas yang memasang bendera parti lebih mengutamakan keselamatan orang lain selepas ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment